GANDINGAN beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin terus menceriakan arena badminton negara apabila berjaya meraih gelaran pertama Jelajah Dunia BWF bagi 2025.
Selepas bermula perlahan dalam Terbuka Malaysia, Sze Fei-Izzuddin yang turut dikenali sebagai Team Tangan Kuat bangkit apabila meraih kejuaraan Terbuka India.
Lebih manis, mereka menewaskan pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-15, 13-21, 21-16. Sebagai rekod, Won Ho-Seung Jae merupakan pemenang Terbuka Malaysia.
BACA LAGI: Tamatkan penantian 15 tahun juara Terbuka India, DinFei raih lebih RM300,000
Dengan kemenangan di Terbuka India, ia menjadikan Sze Fei-Izzuddin sudah meraih dua gelaran Super 750 dalam Jelajah Dunia BWF sepanjang karier mereka.
Persembahan mereka dilihat cukup ampuh dengan apabila kena pada waktunya, tiada siapa yang boleh mencabar gandingan nombor dua dunia itu.
Sze Fei-Izzuddin merupakan beregu lelaki nombor dua dunia. — Badminton Photo
Apa yang diharapkan daripada penyokong terhadap Sze Fei-Izzuddin adalah mereka terus kekal konsisten dan bebas daripada sebarang kecederaan.
Jika mereka berjaya mengelak daripada semua itu, tidak terkejut jika Sze Fei-Izzuddin akan menjadi prospek pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik 2028 kelak.
Persis Datuk Lee Chong Wei, persembahan mereka dilihat cukup berbahaya apabila berada di tahap terbaik dan Sze Fei-Izzuddin boleh menewaskan sesiapa saja.
"Tiada tandingan, bila mereka on fire, saya percaya tiada siapa boleh saingi mereka. Bukan nak puji melambung tapi macam tu lah. Selain Datuk Lee Chong Wei, saya belum nampak lagi pemain (yang ada) prospek untuk emas Sukan Olimpik. Tapi Sze Fei-Izzuddin ada skil dan momentum untuk capainya. Harap mereka konsisten dan bebas cedera sampai Sukan Olimpik seterusnya," kata penyokong bernama Ammar Habib.
"Tahniah DinFei, semoga terus konsisten dan bebas dari kecederaan. Kejar impian ke Sukan Olimpik 2028," komen Izzah Wahab pula.
Selepas Terbuka India, Sze Fei-Izzuddin akan berehat seketika sekali gus tidak menyertai Indonesia Masters yang diadakan pada 21 hingga 26 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram