ROMBAKAN besar-besaran perlu dilakukan Selangor FC, lebih-lebih lagi dari segi pemain lokal kerana saban musim, mereka tidak dapat bersaing secara konsisten sehingga meranapkan harapan untuk menamatkan penantian menjulang trofi.
Meskipun sudah membawa masuk lambakan import pada setiap jendela perpindahan, kelab Lembah Klang itu kelihatan tiada hala tuju sekiranya pemain luar negara tidak dapat diturunkan.
Sebagai penyelesaian, pihak pengurusan kelab perlu bersikap proaktif pada penghujung musim dengan membuat rombakan terhadap skuad yang kelihatan terlalu selesa ketika ini.
BACA LAGI: Bukan lagi ejen bebas, ex import acah 'scam' Selangor FC kini sertai kelab Eropah
BACA LAGI: 'Confirm juara', kemenangan di Bandaraya bikin Selangor calon terbaik julang MFL Challenge Cup
Skuad muda Gergasi Merah memiliki bintang yang boleh dinaikkan pangkat. — Facebook/Selangor FC
Namun, skuad Merah Kuning tidak perlu berasa terlalu runsing kerana mereka tidak perlu membazirkan wang untuk membawa masuk pemain tempatan baharu memandangkan 'ubi muda' yang berada dalam skuad simpanan boleh dinaikkan pangkat.
Ini kerana sumbangan masing-masing sudah membuahkan hasil memandangkan Selangor FC II kini berada di kedudukan kedua Piala MFL dengan peluang besar dimiliki untuk memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) ke tangga teratas.
Berdasarkan kempen mereka musim ini, terdapat tiga pemain yang dilihat sudah cukup matang untuk diserap ke dalam skuad utama bagi membantu pasukan itu dalam Liga Super akan datang.
1. Haykal Danish
Kebelakangan ini, nama Haykal Danish mula meniti bibir penyokong, terutamanya dalam kalangan peminat Selangor FC yang mengagumi bakat prospek berusia 25 tahun berkenaan.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mengikuti rapat perkembangan pasukan itu, graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu sememangnya memiliki masa depan cerah selepas bersinar bersama Harimau Muda sehingga pernah dipanggil ke dalam skuad utama.
Haykal memiliki kualiti untuk beraksi dalam skuad utama ketika ini. — Facebook/MFL
Perhatian besar diberikan terhadapnya jelas tidak memberi kesan terhadap gaya permainannya di atas padang kerana kebelakangan ini, pemain serangan tersebut berjaya memberi impak signifikan buat pasukannya.
Ini termasuk ketika dia menjaringkan gol penting semasa Selangor FC II mengikat JDT II dalam aksi getir Piala MFL yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Tidak cukup dengan itu, ketika kemenangan skuad muda Gergasi Merah ke atas Sri Pahang FC, Haykal berjaya melonjakkan namanya apabila menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.
Melihat kepada kebolehannya pada usia muda, pemain berkenaan sudah cukup bersedia untuk diserap ke dalam pasukan utama bagi menggantikan mereka yang kurang memberi impak buat pasukan.
2. Abdul Rahman Daud
Berdasarkan carta penjaring terbanyak Piala MFL ketika ini, Gabriel Nistelrooy Tamin jauh meninggalkan pencabar selepas mencetak 16 gol daripada 19 penampilan setakat ini.
Namun, di belakang bintang JDT II itu ialah penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud yang mula membuktikan kebolehannya apabila muncul peledak terbaik pasukan dengan 11 gol dijaringkannya.
Abdul Rahman merupakan pemain paling prolifik buat skuad muda Gergasi Merah. — Facebook/MFL
Statistiknya itu merupakan satu lonjakan yang memberangsangkan kerana berdasarkan catatan musim 2023, 'ubi muda' berusia 20 tahun tersebut gagal menjaringkan sebarang gol dalam Piala MFL.
Sumbangan yang amat mengagumkan itu jelas menjadi kunci di sebalik kedudukan memuaskan skuad muda Gergasi Merah ketika ini kerana dalam carta semasa, jentera serangan Selangor FC II adalah yang terbaik.
Kemasukannya dalam skuad utama boleh memberikan dimensi baharu buat pasukan memandangkan penyerang tempatan musim ini, Danial Asri hanya menjaringkan satu gol, iaitu dalam saingan MFL Challenge Cup.
3. Raimi Shamsul
Seperti dinyatakan di atas, Haykal Danish menjadi watak penting ketika skuad Gergasi Merah membenam Sri Pahang FC dalam aksi Piala MFL apabila pemain itu menjaringkan satu gol menerusi sepakan percuma.
Tetapi, dalam perlawanan itu, seorang lagi tonggak Selangor FC II sempat mencetak jaringan menerusi situasi bola mati sehingga membolehkan pasukan Lembah Klang terbabit terus memberi tekanan terhadap pendahulu carta.
Bek kanan pasukan, Raimi Shamsul merupakan pemain yang menjaringkan gol terbabit apabila sepakan percuma diambil pada babak kedua gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Raimi menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika berdepan Sri Pahang FC. — Facebook/SNE Sports
Gol berkenaan membuktikan pertahanan sayap yang juga merupakan kapten skuad muda Gergasi Merah mempunyai kebolehan sedemikian meskipun hanya beraksi dalam tembok pasukan.
Sekiranya pemain berusia 22 tahun berkenaan diserap, ia boleh menjadi satu nilai tambahan buat pasukan utama kerana Raimi boleh memikul peranan itu yang kini merupakan tugas Yohandry Orozco atau Alvin Fortes.
Malah, keputusan untuk membawanya ke dalam skuad senior juga akan membawa perubahan buat pasukan kerana ketika ini, hanya Quentin Cheng tersedia sebagai bek kanan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram