GOL sendiri daripada Rafael Vitor yang tertampan masuk hantaran Quentin Cheng sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan buat Selangor FC ketika berdepan Penang FC dalam separuh akhir pertama MFL Challenge Cup pada Ahad.
Meskipun hanya membawa bekalan satu gol untuk aksi timbal balik, anak-anak buah Katsuhito Kinoshi pasti berasa lega kerana tekanan kurang dirasakan buat pasukan tersebut.
Selain itu, kelebihan beraksi di laman sendiri di Stadium MBPJ, Selangor pada pertembungan kedua akan menyajikan peluang buat skuad Gergasi Merah meraih kemenangan, sekali gus menempa nama dalam perlawanan akhir.
BACA LAGI: Andai mahu tumbangkan Gergasi Merah, Penang perlu asah kuku, manfaatkan sepenuhnya Wenzel-Halls
Malah, ada juga yang beranggapan pasukan Lembah Klang itu boleh menarik nafas lega memandangkan mereka merupakan calon terbaik untuk menjuarainya berbanding empat pasukan lain berbaki.
"Dah nampak juara sememangnya juara, insya-ALLAH. Tiada lah apa-apa yang boleh pasukan lain katakan," kata Ahmad Najim.
Skuad Harimau Kumbang gagal membawa sebarang bekalan untuk aksi timbal balik. — Facebook/Penang FC
"Boleh ke Selangor FC ni juara? Kalau lihat pasukan lain, memang cerah peluang kita. Tidak mengapa, masih boleh dikatakan trofi," kata Zaman Leman.
"Kalau ikutkan gaya, MFL Challenge Cup memang milik Selangor, tidak boleh disangkal lagi," kata Munir Jaafar.
Skuad Gergasi Merah beraksi dalam kejohanan tersebut berikutan penyingkiran awal daripada Piala Malaysia di tangan Sri Pahang FC di pusingan 16 pasukan.
Bagaimanapun, dalam kesemua tiga perlawanan MFL Challenge Cup setakat ini, mereka berjaya mencatatkan kemenangan selepas turut mudah menepikan cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Selepas ini, skuad Gergasi Merah akan sekali lagi beraksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu depan bagi aksi Liga Super sebelum kembali ke laman sendiri dan berdepan kelab Utara tanah air itu bagi pertembungan kedua separuh akhir MFL Challenge Cup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram