[VIDEO] 'Where are they now?', 11 bintang AMD termasuk Luqman Hakim pernah 'bantai' Tajikistan 6-2


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

Luqman berjaya menjaringkan empat gol ketika menewaskan Tajikistan 6-2 dalam kejohanan Piala AFC B-16 pada 2018. — FAM

KANCAH bola sepak Malaysia pernah dikejutkan dengan kemenangan besar diraih skuad muda negara yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Lim Teong Kim dalam kejohanan Piala Asia B-16 Tahun 2018.

Teong Kim yang membariskan kesebelasan utama pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bermula dengan sangat baik apabila menewaskan Tajikistan dengan keputusan 6-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 September 2018.

Antara pemain sensasi ketika itu adalah Luqman Hakim Shamsudin yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bergson da Silva mesra bergambar bersama penyokong lawan, fans JDT cemburu tak dapat 'layanan sama' di SSI

BACA LAGI: [VIDEO] Borrussia Dortmund, juara Piala Eropah antara 3 kelab berminat uji kelab Liga Super

Namun begitu, Malaysia hanya cemerlang dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A sebelum tewas di tangan Thailand (2-4) dan Jepun (0-2) sekali gus gagal layak ke pusingan kalah mati.

Manakala Tajikistan yang dibantai Malaysia pula berjaya lolos ke pusingan mati bersama juara Kumpulan A, Jepun sehingga bergelar johan edisi kejohanan itu.

Selepas tujuh tahun berlalu, pemain-pemain dalam kesebelasan utama itu kian sunyi sehinggakan ada yang belum melakukan debut dalam Liga Super.

Persoalan 'where are they now?' menarik minat Majoriti untuk menyenaraikan 11 pemain kesebelasan utama yang diberikan kepercayaan oleh Teong Kim untuk menewaskan Tajikistan 6-2 sebelum tersingkir dalam kejohanan itu:

1. Sikh Izhan Nazrel (Penang FC)

Sikh Izhan Nazrel boleh dianggap antara graduan yang berjaya pernah dilahirkan AMD selepas kini merupakan tonggak utama Penang FC dalam kancah Liga Super.

Pemain pinjaman dari Selangor FC itu pernah mewakili Negeri Sembilan FC pada musim lalu untuk memberikan lebih banyak pengalaman sebelum diberikan kepercayaan untuk dibariskan dalam skuad senior.

Sikh juga pernah menjalani sesi 'trial' bersama kelab Sepanyol, CF Fuenlabrada sebelum kembali ke Selangor pada 2022.

Pemain berusia 23 tahun itu juga sudah melakukan 'debut' bersama skuad kebangsaan di bawah kepimpinan Kim Pan-gon ketika menewaskan Papua New Guinea 10-0 pada 20 Jun 2023.

2. Muhammad Firdaus Kaironnisam (Kedah Darul Aman B)

Muhammad Firdaus Kaironnisam merupakan antara pemain muda di sebalik kejayaan skuad B-16 menewaskan Tajikistan 6-2 pada 2018.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, Firdaus menyertai JDT II selepas tamat bersama AMD sebelum memilih berhijrah ke Kedah Darul Aman FC B pada musim 2023.

Firdaus juga merupakan antara pemain muda di sebalik kejayaan skuad B-18 dalam kejohanan Piala AFF B-18 di Vietnam pada 2019.

3. Muhammad Firdaus Ramli (JDT II)

Anak jati kelahiran Terengganu, Muhammad Firdaus Ramli memilih JDT II sebagai destinasi untuk mengembangkan bakatnya dalam kancah bola sepak selepas menghabiskan pengajian di AMD.

Musim ini, Firdaus masih kekal bersama JDT II dan merupakan tonggak penting skuad Harimau Muda.

Pemain berketinggian 1.74 meter itu masih belum berkesempatan menunjukkan kualitinya bersama skuad utama Harimau Selatan.

4. Muhammad Hariz Mansor (Kuching City FC)

Antara pemain yang mempunyai masa depan cerah bersama skuad muda Malaysia, Muhammad Hariz Mansor ketika ini mewakili Kuching City FC selepas gagal naik pangkat bersama Selangor II.

Hariz menyertai Kuching City dari Kedah Darul Aman B belum melakukan sebarang perlawanan bersama skuad utama The Cats.

Pemain pertahanan muda itu, sebelum ini banyak diberikan kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan ketika bersama AMD.

5. Raimi Shamsul (Selangor FC)

Dinaikkan pangkat daripada Selangor II, Raimi Shamsul dalam laluan yang betul untuk beraksi secara konsisten bersama skuad utama Gergasi Merah.

Walaupun tidak berjaya mengikuti langkah rakan sepasukan lain di AMD seperti Harith Haikal dan Ahmad Zikri Khalili, Raimi telah tersenarai dalam skuad utama Selangor musim ini.

Namun begitu, khidmat Raimi masih ditagih oleh barisan kejurulatihan Selangor II dalam membantu skuad muda Gergasi Merah merangkul kejuaraan Piala MFL 2024/2025.

6. Ahmad Zikri Khalili (Selangor FC)

Keputusan pihak pengurusan Selangor FC untuk melantik pembantu jurulatih, Nidzam Jamil bagi menggantikan Tan Cheng Hoe bagai rahmat buat pemain muda Gergasi Merah, Ahmad Zikri Khalili musim ini.

Manakan tidak musim ini sahaja Zikri telah melepasi rekod penampilan tahun lalu bersama Selangor dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Mula menyertai Selangor sejak 2020, musim ini antara prestasi terbaik Zikri yang beraksi di pertahanan kiri pasukan sekali gus menolak Muhammad Fazly Mazlan ke bangku simpanan selepas sekian lama dia memegang posisi itu.

Musim ini Zikri telah tampil dalam 23 penampilan dan menjaringkan satu gol dalam aksi Piala FA.

7. Muhamad Alif Mutalib (JDT II)

Ketika kemenangan 3-0 JDT ke atas KL Rovers pada 20 November 2024 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor menerusi hatrik pemain import iaitu Heberty Fernandes, beberapa pemain muda berhasil mencuri tumpuan.

JDT memberikan Alif Mutalib, G. Pavithran dan Chrisitian Abad penampilan pertama bersama skuad utama Harimau Selatan dan ia berjaya menarik perhatian penyokong yang hadir dengan persembahan mereka.

Tumpuan nyata terarah kepada Alif yang beraksi di bahagian sayap dengan persembahannya mengingatkan penyokong Harimau Selatan kepada Arif Aiman Hanapi.

Melihat kepada potensi yang ada padanya, ramai berpendapat dengan latihan yang betul, Alif boleh menjadi cemerlang seperti Arif yang kini merupakan watak utama JDT dan skuad kebangsaan.

8. Muhamad Umar Hakeem (JDT II)

Muhammad Umar Hakeem adalah prospek masa depan Harimau Malaya yang beraksi sebagai pemain tengah.

Umar mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila sering dipanggil untuk membarisi skuad Harimau Muda.

Pemain kelahiran Batu Pahat, Johor itu sudah pun berpeluang untuk bersama-sama skuad utama JDT dalam sesi latihan mahupun perlawanan persahabatan.

9. Muhammad Syukur Fariz (JDT II)

Muhammad Syukur Fariz beraksi sebagai pemain tengah dan kini beraksi bersama bekas graduan AMD yang lain di JDT II.

Syukur Fariz telah menunjukkan prestasi cemerlang bersama JDT II dan pernah mewakili Malaysia di peringkat bawah 23 tahun, menandakan potensinya sebagai pemain muda yang berbakat dalam arena bola sepak negara.

10. Muhammad Najmuddin Akmal (JDT II)

Muhammad Najmuddin Akmal, pastinya lebih dikenali dengan gaya rambut afro apabila dia merupakan antara pemain yang dipanggil oleh Pau Marti Vicente untuk kejohanan Piala Asean 2024.

Najmuddin kini beraksi bersama JDT II dan turut mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa apabila sering dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Muda.

Pemain sayap JDT II itu pernah mengalami kecederaan serius pada 2020, namun berjaya pulih dan kembali beraksi dengan cemerlang.

11. Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk)

Penyokong bola sepak pastinya mahu Luqman Hakim Shamsudin kembali seperti dahulu apabila prestasinya kelihatan merudum dengan sangat ketara.

Luqman menjadi satu-satunya prospek AMD yang berjaya berkelana ke Eropah dengan KV Kortrijk menjadi kelab keduanya selepas Selangor II.

Pada 17 Disember lalu, Luqman difahamkan bakal berpisah dengan kelab divisyen tiga Jepun iaitu Yokohama SCC selepas saingan Liga J3 musim 2024 berakhir susulan tempoh pinjamannya bersama pasukan itu akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Sejak menyertai Yokohama pada pertengahan Januari lepas, Luqman Hakim mendapat peluang untuk tampil dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan bersama pasukan yang sudah tersingkir ke divisyen keempat itu.

Selepas ini, Luqman Hakim dijangka kembali semula ke Belgium memandangkan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mempunyai baki kontrak bersama KV Kortrijk sehingga pertengahan 2025.

Daripada terus menagih simpati dengan kelab asing, Luqman Hakim digesa memikirkan masa depannya sebagai pemain bola sepak sementara menghabiskan dengan mula mempertimbangkan beraksi di saingan Liga M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram