Hilang fokus di Likas, Martin Stano akui peluang di Temerloh 50-50


  • Podium
  • Rabu, 22 Jan 2025

Sebahagian aksi menarik yang ditampilkan oleh Jafri Chew (jersi merah) yang dikawal ketat pertahanan Tok Gajah. — Facebook/Sabahfc

PERLAWANAN kedua separuh akhir Piala Malaysia 2024 bakal menyaksikan pertembungan hebat antara Sabah FC dan Sri Pahang FC awal Februari depan selepas masing-masing terikat seri 1-1 dalam pertemuan pertama pada Sabtu minggu lalu.

Perebutan slot ke final terus hangat meskipun Johor Darul Ta'zim (JDT) kini dalam kedudukan selesa dengan bekalan empat gol selepas menewaskan Terengganu FC dalam aksi pertama separuh akhir Jumaat minggu lalu.

Namun, cerita berbeza di Stadium Likas, Sabah apabila pertembungan sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, lapor MFL.

BACA LAGI: 'Sikit lagi kena pecat', Kim Swee lakar kemenangan sulung lepas 8 perlawanan

BACA LAGI: Debaran memuncak, PSM Makassar kelab pertama muncul semifinalis Piala Shopee jika malukan TFC

WhatsApp Image 2025-01-22 at 12.53.00 (3)

Walaupun dikawal rapat oleh pertahanan lawan, Stuart Wilkin (kiri) berjaya menjaringkan satu gol untuk Sabah FC. — Facebook/Sabahfc

Pengendali tuan rumah, Martin Stano mengakui barisan pemain tidak menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menterjemahkan gol sehingga membuka ruang kepada lawan untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua perlawanan.

“Ini bukan perlawanan yang kita inginkan sebab kita sememangnya nak menang apatah lagi di laman sendiri.

“Separuh masa pertama kita banyak kehilangan bola dan walaupun kita menjaringkan gol terlebih dahulu, pemain banyak tidak fokus selepas itu.

“Untuk bermain di Stadium Perbandaran Temerloh, Pahang dalam aksi timbal balik bukan mudah, peluang 50-50 tetapi tiada yang mustahil sehingga wisel penamat dibunyikan”, jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji kerja keras anak buahnya yang cukup berdisiplin dalam usaha untuk bangkit di separuh masa kedua.

Namun, sudah pasti banyak yang perlu diperbaiki terutamanya untuk mencongak kembali stratagi selepas pasukan kehilangan Manuel Hidalgo yang telah dikenakan kad merah.

“Alhamdulillah, pemain-pemain sudah beri yang terbaik untuk sekurang-kurangnya raih satu gol dan mereka mempunyai disiplin yang tinggi kali ini, tidak seperti ketika bermain dengan Negeri Sembilan FC.

“Saya memang dah cakap dekat pemain selepas separuh masa pertama untuk cetak gol juga dan tutup semua ruang yang ada, jadi mereka berjaya terutamanya di bahagian pertahanan.

“Tetapi sudah tentu, terasa kehilangan untuk aksi timbal balik ini tanpa Manuel Hidalgo dan saya kena menggunakan pemain-pemain simpanan yang ada untuk menggantikannya”, katanya.

Hidalgo dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zamzaidi Katimin pada minit ke-75 selepas dikesan memijak kaki bek tengah Sang Badak, Dominic Tan semasa cuba mendapatkan bola.

Aksi timbal balik separuh akhir antara JDT dan Terengganu FC akan diadakan pada 1 Februari 2025, manakala pertemuan Sri Pahang FC dan Sabah FC akan berlangsung pada 2 Februari 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram