Safuwan anggap realistik julang trofi Piala Cabaran, Akmal Zahir syukur tidak kalah di Selayang


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

KDA FC mempamerkan aksi terpuji apabila bangkit selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC mula mencongak peluang untuk mara ke final MFL Challenge Cup apabila kedua-dua pasukan itu dilihat memiliki sedikit kelebihan menjelang perlawanan separuh akhir kedua nanti.

Skuad Sang Kenari dan Gergasi Merah akan beraksi di laman sendiri selepas berjaya mengharungi perlawanan separuh akhir pertama dengan meraih keputusan memberangsangkan.

Meskipun sekadar mencatat keputusan seri 3-3 dengan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang, Selangor pada Sabtu lalu, namun KDA FC mempamerkan aksi terpuji apabila bangkit selepas ketinggalan dua gol pada babak pertama.

BACA LAGI: 'What a comeback', pemain tiada gaji Kedah ajar erti perjuangan sebenar di Selayang

BACA LAGI: Gaji tak nampak bayang, pemain Kedah nampak sayu buat ‘live’ TikTok jual barang peribadi

Manakala Selangor FC pula membawa bekalan satu gol ke Stadium MBPJ untuk aksi kedua nanti selepas mengatasi Penang FC 1-0 dalam pertembungan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.

Kapten pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin mengakui meskipun kedudukan mereka ke pentas akhir belum selamat namun dia percaya ini peluang terbaik untuk mereka merebut kejuaraan musim ini.

"Harapan saya sememangnya begitu besar untuk ke perlawanan akhir. Ini adalah satu piala yang tinggal untuk kami dan secara realistiknya, ini peluang terbaik kami untuk melangkah ke final.

"Meskipun orang luar memperkatakan MFL Challenge Cup ini berbeza dengan Piala Malaysia, namun bagi saya, kita tetap akan pastikan yang kami dapat membuktikan sesuatu kemenangan," kata Safuwan memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

safuwan

Kapten pasukan Gergasi Merah, Safuwan Baharudin. — Facebook/SelangorFC

Dalam masa yang sama, tonggak utama Kedah Darul Aman FC, Akmal Zahir berpuas hati terhadap keputusan seri 3-3 pada perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Selayang Sabtu lalu.

Meskipun pasukan Hijau Kuning itu menampilkan aksi kurang memberangsangkan pada aksi separuh masa pertama perlawanan, namun akhirnya mereka berjaya bangkit semula pada babak kedua dan mengejar jaringan PDRM FC.

"Saya bersyukur kita tidak kalah di sini (Selayang) dengan keadaan pasukan kami sekarang. Keputusan seri ini dianggap positif untuk kami pulang semula ke Alor Setar dan melakukan aksi lebih baik nanti.

"Oleh itu, saya ingin menyeru para penyokong bola sepak Kedah untuk hadir ke stadium nanti dan dapat memenuhi tempat duduk demi pasukan keramat mereka," kata pertahanan Sang Kenari itu.

akmal

Akmal Zahir beraksi di posisi pertahanan tengah. — Facebook/KDAFC

Dua aksi pertempuran separuh akhir kedua MFL Challenge Cup, membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC bertemu PDRM FC akan berlangsung pada 1 Februari 2025 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Manakala, Selangor FC dan Penang FC akan bermain pada 2 Februari 2025 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram