PEMAIN Nakhonpathom United, Muhammad Abu Khalil mahu menjadikan kelab Thailand itu sebagai batu loncatan buatnya menyertai skuad Harimau Malaya.
Pemain pinjaman dari Selangor FC itu melakukan penampilan pertamanya bersama kelab itu ketika turun menentang Bangkok United pada Isnin dan berjaya membantu mereka meraih satu mata.
Selepas tempoh pinjamannya di Jepun bersama FC Osaka berakhir, Muhammad mahu terus membuktikan nilainya dalam saingan domestik Thailand yang dianggap cukup kompetitif supaya dapat mewakili Malaysia.
BACA LAGI: Sudah tiba masa prospek Terengganu-Pahang-Kedah ikut Muhammad, Fergus ke luar negara
BACA LAGI: Muhammad Abu Khalil mahu gunakan pengalaman di Jepun sebaiknya demi Harimau Malaya
"Benar, itu adalah sasaran sebenar saya datang ke Thailand, (sebuah) liga yang tertinggi (tarafnya). Saya harap saya dapat buat yang terbaik di sini untuk dapat dipanggil ke skuad kebangsaan.
"Pengalaman dan intensiti di Jepun sangat membantu bermain di Thai League 1 juga. Saya akan terus konsisten untuk bermain dalam perlawanan seterusnya," jelas Muhammad selepas perlawanan.
Muhammad sebelum ini dipanggil untuk beraksi bersama Harimau Malaya untuk Piala Asean pada penghujung 2024 namun dia tidak diturunkan oleh Pau Marti ketika itu.
Selain cuba menembusi skuad Harimau Malaya, Muhammad juga berazam untuk membawa Nakhonpathom ke kedudukan lebih selesa dalam Thai League 1.
Kini menduduki tempat kedua terbawah dalam Thai League 1 dan diancam untuk turun ke divisyen bawahan jika situasi tidak berubah.
"Kami di kedudukan ke-14 (15) liga, kami akan konsisten untuk dapatkan (mata) dan terus kekal dalam Thai League 1," katanya ringkas.
Selepas ini, Muhammad dan Nakhonpathom bakal berdepan lawan sukar apabila bertemu pendahulu liga, Buriram United pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram