Tiada isu berbangkit, KL City sudah selesaikan gaji tertunggak bekas jurulatih sebelum meninggal dunia


  • Podium
  • Isnin, 20 Jan 2025

KLFA sudah menyelesaikan tunggakan gaji Zailani sebelum meninggal dunia. — Facebook/KL City

SEBELUM ini, kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC berduka apabila mereka kehilangan pembantu jurulatih penjaga gol, Zailani Abu Bakar akibat masalah jantung.

Meninggal dunia pada 14 Januari, pemergian Zailani adalah pada dua hari selepas KL City turun menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super yang menjadi tugasan terakhirnya bersama kelab.

Usai berita pemergian Zailani itu, penyokong yang risau juga meminta pengurusan KL City untuk menjelaskan tunggakannya gaji agar mampu memudahkan urusan keluarganya.

BACA LAGI: Kempunan rasa gaji hingga hujung nyawa, KL City digesa langsaikan bayaran tertunggak jurulatih kelab

BACA LAGI: ‘Mahu atau tidak, kita kena ketepikan kepenatan’, KL City mahu ulang pencapaian tundukkan Selangor FC

Begitupun, urusan tersebut sebenarnya sudah pun dilunaskan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dengan segala tunggakan sudah pun diuruskan pada akhir 2024.

Menurut KLFA, mereka melalui presidennya, Syed Yazid Syed Omar turut menghulurkan bantuan tambahan kepada Zailani.

464870793_985815046895672_9149713890919518219_n

Syed Yazid membantu melunaskan tunggakan gaji Zailani sebelum bermulanya 2025. — Facebook/KLFA

"Sebenarnya, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar sudah pun menyelesaikan tunggakan gaji tersebut pada 26 Disember 2024. Dalam pada itu, Syed Yazid juga memberikan sumbangan tambahan sebanyak RM2,000 kepadanya.

"Pihak KLFA juga akan memberikan bantuan sekiranya pihak keluarganya memerlukan apa-apa setelah pemergiannya," jelas KLFA kepada Majoriti.

Sebelum ini, timbul kerisauan dalam kalangan penyokong mengenai status pembayaran gaji terhadap Zailani selepas dia meninggal dunia.

Namun begitu, selepas penjelasan yang dilakukan oleh KLFA, ia memberikan pencerahan dengan bekas staf skuad Warga Kota itu memperoleh haknya sebelum pergi untuk selamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram