LANGKAH menarik diambil dua pemain muda negara, iaitu Muhammad Abu Khalil dan Fergus Tierney yang berkelana ke Thailand untuk menyertai Nakhonpathom United FC dalam divisyen teratas Liga Thai.
Keputusan diambil tersebut sekali gus menjadi bahan bualan peminat bola sepak tempatan kerana beberapa tahun lalu, penghijrahan ke liga asing, baik sekitar Asia Tenggara mahupun di Asia Timur acap kali menerima tentangan.
Selain sukar menyesuaikan diri, pemain tempatan sering berdepan risiko disisihkan di kelab baharu masing-masing kerana kualiti mereka, terutamanya dalam kalangan 'ubi muda' jauh ditinggalkan.
BACA LAGI: 'Sertai kelab bawahan Thailand boleh matangkan Fergus Tierney'
BACA LAGI: Tak boleh pulang jendela tutup, 'ubi' Selangor transit di Thailand, bakal sekelab rakan dari JDT?
Namun, keputusan Muhammad dari Selangor FC II dan Fergus yang merupakan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) II menceritakan hal sebaliknya kerana mereka lebih tertarik untuk mencuba nasib di luar negara berbanding terus diletakkan dalam skuad simpanan.
Oleh itu, rakan sepasukan mereka dalam skuad muda kebangsaan perlu mengikuti langkah tersebut kerana masing-masing perlu keluar dari zon selesa dan berkelana sementara masih berpeluang.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga prospek muda negara yang boleh berkelana ke liga-liga sekitar Asia Tenggara selepas membuktikan diri di peringkat belia.
1. Ubadiullah Shamsul Fazili
Sejak membantu Terengganu FC II menjuarai Piala MFL 2023, nama Ubaidullah Shamsul Fazili terus melonjak kerana kebolehannya segera dikesan bekas pengendali skuad utama pasukan, Tomislav Steinbruckner.
Ini dapat disaksikan apabila jurulatih dari Croatia itu meletakkan kepercayaan penuh buat pemain berusia 21 tahun berkenaan untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.
Ubaidullah terus menjadi tonggak utama buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Peluang itu diambil dengan baik, sekali gus menyaksikan bek berkenaan tampil lebih kerap bagi kempen kali ini dengan 20 penampilan sudah direkodkan meskipun terdapat perubahan ketua jurulatih dilakukan.
Jadi, selepas membuktikan kebolehan sebenarnya, sudah tiba masanya buat Ubaidullah mencuba nasib di luar negara sekiranya terdapat sebarang tawaran diterimanya.
Kelab-kelab sekitar Thailand, sama ada dalam divisyen teratas mahupun kedua boleh dikatakan sebagai destinasi terbaik buatnya sebelum boleh berfikir untuk ke tahap lebih tinggi.
2. Ibrahim Manusi
Meskipun bukanlah nama besar dalam skuad Tok Gajah, kehadiran Ibrahim Manusi sebagai pemain tengah amat dihargai penyokong kelab Pantai Timur itu kerana beraksi dengan matang meskipun baru sahaja berusia 23 tahun.
Berani untuk melakukan asakan dan tenang dalam melakukan hantaran merupakan sedikit sebanyak aset dimiliki produk bola sepak Pahang itu dengan dia kerap digandingkan di samping Saiful Jamaluddin.
Ibrahim merupakan antara pemain utama pada mata penyokong skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, tubuhnya yang kecil membuatkannya sukar untuk bersaing dengan pemain import dalam skuad Tok Gajah, sekali gus menyaksikan peluangnya dalam pasukan sedikit terhad ketika ini.
Sekiranya Ibrahim mahu mengatasi isu minit permainan, dia perlu berfikir untuk ke luar negara, seperti pasukan di Indonesia yang lebih menekan aspek teknikal berbanding fizikal.
Liga Thailand juga merupakan destinasi sesuai buat pemain berkenaan, namun tanpa kaps kebangsaan, dia hanya boleh beraksi dalam divisyen kedua yang masih mampu mendedahkannya lebih kerap.
3. Aiman Afif
Situasi dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC seperti tidak mempunyai penyelesaian kerana setakat hari ini, sudah terdapat kira-kira tujuh pemain yang sudah meninggalkan pasukan itu.
Jika tiada sebarang perkembangan positif, tidak mustahil lebih ramai pemain akan mengambil langkah sedemikian, termasuk prospek pasukan yang pada awalnya tidak sanggup meninggalkan skuad Sang Kenari.
Tidak mustahil sekiranya Aiman Afif menjadi pemain seterusnya meninggalkan skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
Antaranya ialah penyerang pasukan, Aiman Afif yang beberapa kali diletakkan dalam skuad utama musim ini meskipun lebih kerap diturunkan bagi aksi Piala MFL.
Dia yang baru sahaja diturunkan sebanyak tiga kali dalam Liga Super 2024/25 pasti sukar untuk menambat hati pasukan luar negara, terutamanya mereka yang boleh dikatakan gergasi dalam liga masing-masing.
Bagaimanapun, jika Aiman terbuka untuk mengumpul pengalaman tanpa mengira bayaran dan status pasukan, perpindahan ke luar negara pasti dapat menajamkan lagi sentuhannya di hadapan pintu gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram