PEMAIN tengah Terengganu FC, Manuel Ott, yakin skuad Sang Penyu sudah bersedia untuk menghadapi cabaran besar selepas prestasi cemerlangnya membantu pasukan itu meraih kemenangan 5-0 ke atas kelab Myanmar, Shan United dalam perlawanan Piala Shopee di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar pada Rabu lalu.
Kemenangan tersebut adalah yang pertama bagi mereka dalam Kumpulan A, yang juga menentukan harapan untuk ke separuh akhir.
Terengganu kini berada di tangga keempat dengan empat mata dari tiga perlawanan, dan sekiranya mereka menang dalam dua perlawanan berikutnya menentang kelab Indonesia, PSM Makassar dan pasukan Thailand, BG Pathum United, Sang Penyu berpeluang mengesahkan tempat ke separuh akhir.
BACA LAGI: Raih 3 mata di Likas atas bantuan senior, fans The Rhinos cabar kualiti 'ubi muda'
Pemain tengah Sang Penyu, Manuel Ott (kanan). — Facebook/TFC
PSM Makassar kini mendahului kumpulan dengan tujuh mata dari tiga perlawanan, manakala kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa di tempat kedua dengan lima mata. Pathum United turut memiliki lima mata tetapi berada di tempat ketiga berdasarkan perbezaan gol.
Ott yang berusia 32 tahun dan mesra dipanggil Manny itu berkata, pasukannya kini lebih bersemangat untuk memenangi dua perlawanan seterusnya selepas kemenangan yang memberi keyakinan itu.
“Saya amat berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh pasukan ini. Sekarang kumpulan ini semakin menarik kerana banyak pasukan yang bersaing untuk merebut dua tempat separuh akhir.
"Kami percaya kami mampu memperoleh dua kemenangan lagi untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya,” katanya.
Badrul Afzan sujud syukur selepas pasukannya meraih kemenangan pertama dalam kejohanan Piala Shopee. — Facebook/TFC
Selain mempamerkan aksi cemerlang di bahagian tengah bersama Akram Mahinan dan Nurillo Tuktasinov, Ott turut menyumbang dua gol pada minit ke-25 dan m-63 dalam kemenangan besar ke atas Shan United.
Pemain sayap, Akhyar Rashid juga menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan m-72, manakala kapten Safawi Rasid turut mencatatkan nama sebagai penjaring pada minit ke-11.
Pemain tengah yang berasal dari Filipina itu turut menyifatkan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil bimbingan daripada Ketua Jurulatih, Badrul Afzan Razali.
“Kami semakin tajam dari perlawanan ke perlawanan, dan saya dapat melihat semua pemain semakin berkembang dalam persaingan berkat panduan dan taktikal yang baik dari jurulatih,” tambah Ott. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram