SEJAK dari dulu, saingan bola sepak tempatan dimeriahkan dengan kehadiran para pemain dari Australia sebagai pemain import.
Faktor negara yang dianggap dekat dengan Malaysia membuatkan mengapa ada pemain dari Australia memilih negara ini sebagai tempat untuk berkelana selain melebarkan sayap ke Asia Timur dan Eropah.
Baru-baru ini, pemain Penang FC, Dylan Wenzel-Halls mencipta sensasi apabila menjaringkan hatrik ketika berdepan Perak FC. Selain dia, bola sepak Malaysia menyaksikan ramai bintang Australia menggegar arena tempatan.
BACA LAGI: Hatrik Wenzel-Halls ditagih tumbangkan Gergasi Merah di semifinal Piala Cabaran
BACA LAGI: Tak pernah wakil negara, media Australia bangga pencapaian Shane Lowry di Liga Malaysia
Shane Lowry
Berkemungkinan merupakan pemain Australia paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia, Shane Lowry merupakan pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak 2021.
Lowry mempunyai rekod karier yang baik. Sebelum tiba di JDT, dia pernah beraksi di pelbagai kelab Eropah seperti Aston Villa, Milwall dan Birmingham City.
Shane Lowry merangkul pelbagai kejuaraan bersama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Walaupun dilahirkan di Perth, Australia, Lowry pernah mewakili Republik Ireland di peringkat remaja sebanyak sembilan kali. Di peringkat senior, Lowry tidak pernah bermain untuk Ireland atau Australia.
Bersama JDT, pemain itu sudah merangkul lapan gelaran domestik serta tambahan dua trofi Piala Sumbangsih.
Robert Cornthwaite
Satu nama yang mekar di hati penyokong dua kelab seteru di Liga Super iaitu Selangor FC dan Perak FC, Robert Cornwhaite merupakan pemain pertahanan sama seperti Lowry.
Dilahirkan di Blackburn, England, Cornthwaite bagaimana pun berjaya mewakili Australia di peringkat senior dengan dia melakukan lapan penampilan sambil menghasilkan tiga gol.
Cornthwaite memenangi Piala Malaysia bersama kedua-dua kelab El Clasico Malaya. — Agensi
Di Malaysia, Cornthwaite memainkan peranan penting dalam melengkapkan Misi 33 Selangor pada 2015. Gandingannya bersama Shahrom Kalam di pertahanan tengah amat penting untuk menamatkan kemarau trofi Selangor ketika itu.
Tiga tahun kemudian, Cornthwaite mengulangi pencapaian serupa bersama Perak dengan membantu kelab itu menewaskan Terengganu dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia paling epik dalam sejarah moden kejohanan.
Giancarlo Gallifuoco
Seorang lagi pemain import Australia yang popular di Liga Super adalah bintang Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco.
Sama seperti Lowry, Gallifuoco mempunyai perjalanan karier yang menarik di Eropah apabila dia pernah bersama skuad remaja Tottenham Hotspur dan Swansea City sebelum beraksi untuk beberapa kelab di Australia.
Gallifuoco pernah beraksi untuk skuad remaja Tottenham Hotspur — Agensi
Dia menyertai KL City pada 2021, Gallifuoco kemudiannya menjadi sebahagian daripada skuad itu yang merangkul gelaran Piala Malaysia edisi istimewa kerana diadakan pada tahun ke-100 kejohanan.
Beraksi cemerlang untuk KL City di Piala AFC 2022, Galifuoco pernah disebut-sebut untuk mewakili Australia di Piala Dunia 2022 namun begitu namanya tidak dipertimbang oleh jurulatih Socceroos ketika itu iaitu Graham Arnold. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram