SELEPAS kagum dengan khidmatnya untuk kira-kira lapan bulan, Terengganu FC akhirnya mengambil keputusan mengekalkan Akhyar Rashid dari Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.
Keputusan itu menerima respons baik daripada penyokong kerana masing-masing tertarik akan kemampuan pemain sayap Harimau Malaya itu, lebih-lebih lagi dari segi kebolehannya menggelecek bola.
Selain itu, dari segi ketajaman di hadapan pintu gol pula, pemain berusia 25 tahun itu juga tidak kurang hebatnya kerana sudah menjaringkan lima gol dan mencipta tiga bantuan jaringan menerusi 22 penampilan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT
BACA LAGI: Akhyar Rashid sah milik Sang Penyu, tandatangani kontrak pemain tetap
Akhyar sukar meraih minit permainan konsisten semasa bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tambahan pula, perpindahan berkenaan menyaksikan Akhyar bakal menerima minit permainan lebih kerap selepas bermusim-musim diletakkan di bangku simpanan skuad Harimau Selatan tanpa minit permainan konsisten.
Penghijrahan itu turut menyaksikan pemain kelahiran Jitra, Kedah tersebut berada dalam senarai pemain yang meninggalkan JDT dan menyertai Terengganu FC usai meninggalkan kelab Selatan tanah air berkenaan.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat beberapa pemain pernah berbuat demikian, namun tiga daripadanya mempunyai kisah menarik untuk dikupas kerana ia memberi kesan terhadap karier masing-masing.
1. Darren Lok
Sebelum membuktikan diri dalam Liga Super bersama Sabah FC, Darren Lok terlebih dahulu didedahkan dalam arena bola sepak tanah air bersama JDT selepas menyertai kelab itu pada 2016.
Perpindahan itu sememangnya mencuri perhatian ramai kerana penyerang berkenaan menjadi antara pemain warisan pertama dibawa masuk dari England selepas pihak pengurusan kelab membuat tinjauan di Eropah.
Darren Lok juga bergelut meraih peluang semasa beraksi buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, sepanjang berada bersama skuad Harimau Selatan, dia kurang meraih peluang sehingga diletakkan dalam skuad simpanan yang hanya bersaing dalam Liga Perdana.
Jadi, selepas lebih kurang empat tahun di sana, Darren Lok mengambil keputusan berkelana ke Terengganu FC dengan harapan kariernya dapat dikembangkan, namun cita-cita itu tidak tercapai.
Sepanjang semusim di Pantai Timur, pemain yang berusia 34 tahun itu hanya merekodkan empat penampilan, sekali gus memaksanya berkelana ke Petaling Jaya (PJ) City FC sebelum berpindah ke Sabah FC pada 2022.
2. Liridon Krasniqi
Tempoh perkhidmatan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi bersama Terengganu FC tidaklah dihiasi bulan dan bintang kerana dia sukar menembusi kesebelasan utama di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner.
Namun, statusnya yang pernah bersinar di Kedah satu ketika dahulu menyaksikan perpindahannya musim lalu mencuri perhatian, lebih-lebih lagi selepas dia bertindak meninggalkan JDT untuk memeterai perjanjian itu.
Liridon bukanlah figura yang disenangi semasa beraksi buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Mengikut statistik, Liridon sempat merekodkan 30 penampilan secara keseluruhan buat skuad Sang Penyu, namun tiada impak ditinggalkan bakal diingati secara positif.
Ini kerana pemain kelahiran Kosovo berkenaan pernah mengecewakan hati penyokong apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2023 menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.
Selain itu, gaya permainannya yang terlalu bersahaja kurang disenangi kerana dia sepatutnya menjadi penggerak utama pasukan dalam mencipta peluang buat rakan sepasukan.
3. Adib Zainudin
Kempen Terengganu FC dalam Liga Super tiga tahun lalu akan diingati memandangkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain berjaya mengumpulkan pemain terbaik, sama ada bintang import mahupun lokal.
Namun, di sebalik kehadiran pemain yang dibawa masuk, ada dalam kalangan mereka gagal mencuri perhatian sehingga berdepan kesukaran merekodkan minit permainan, seperti Adib Zainudin.
Adib hanya kekal bersama skuad Sang Penyu selama semusim. — Facebook/Terengganu FC
Dia yang disambar dari JDT II pada jendela perpindahan pertama bergelut untuk membuktikan nilai sebenar memandangkan pasukan itu memiliki Sharul Nizam Ros Hasni dan Pape Diakite sebagai bek tengah.
Persaingan sengit tersebut menyaksikannya hanya sempat merekodkan sembilan penampilan buat skuad Sang Penyu, sekali gus meranapkan impian untuk membuktikan kualiti sebenarnya.
Menyedari minit permainan semakin sukar untuk diraih, bek tengah berusia 29 tahun itu akhirnya mengambil keputusan menyertai kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletics pada 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram