Romel, Arif Aiman buat bek Terengganu pening kepala, fans geram taktikal 'backpass' Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Antara pemain-pemain JDT yang menjaringkan empat gol menewaskan Terengganu dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024-2025 pada Jumaat.

KEHANGATAN aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024-2025 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti dijangka penyokong bola sepak tempatan apabila kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang mendebarkan.

Terengganu yang meletakkan Muhammad Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama pasukan memberikan dimensi berbeza buat pengendali Sang Penyu, Badrul Afzan Razali untuk mengatur serangan ke kubu pertahanan JDT.

Manakala, JDT pula memanfaatkan penggunaan kuota import apabila menurunkan Bergson da Silva, Jun Heong-park, Iker Undabarrena, Juan Muniz, Eddy Israfilov dan Oscar Arribas bagi membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 1 Februari 2025.

BACA LAGI: [VIDEO] Yakin Sri Pahang bersedia, Manuel Hidalgo petik 2 nama pemain Sabah boleh jadi ancaman Tok Gajah

BACA LAGI: [VIDEO] Bakal ulangi aksi 2018, gandingan Mat Don, Akhyar Rashid imbau sebab JDT sambar 'duo Kedah'

Percaturan Hector Bidalgio menurunkan enam pemain import membuahkan hasil apabila JDT menjaringkan gol seawal minit ke-20 hasil ledakan Romel Morales.

Pada minit ke-35, Romel sekali lagi menjaringkan gol hasil rembatan derasnya sebelum pengadil perlawanan, Fitri Maskon membatalkannya selepas hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Melihat corak permainan Terengganu dalam babak separuh masa pertama, rata-rata penyokong Sang Penyu tidak gemar cara barisan pertahanan yang didakwa sering melakukan 'ball watching'.

"Pertahanan ini tak habis-habis hantar dekat penjaga gol, ingat penyerang JDT itu cap ayam ke?" soal Afi Ishak.

"Tak belajar dari kesilapan ke Terengganu? Jangan main 'backpass', pemain JDT itu laju. Pemain kita pula berat nak kejar," ujar Wan Shahriduan.

"Berlakon 'star' dekat kawanan sendiri, tempat penjaga gol pun nak 'gentel-gentel' bola, selepas itu bola kena rampas dengan pemain lawan mula kelam kabut," komen Kuli Sahaja.

Separuh akhir pertama tamat dengan JDT mendahului 1-0 hasil jaringan Romel, manakala Terengganu masih berusaha untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa serangan sebelum dipatahkan barisan pertahanan Harimau Selatan.

Bersambung separuh masa kedua perlawanan, JDT terus menekan Terengganu untuk membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Ibrahim selepas tidak berpuas hati dengan satu jaringan.

Terengganu yang memilih untuk bermain secara defensif dilihat sukar untuk menolak bola ke hadapan selepas benteng pertahanan JDT cemerlang mengawal asakan Sang Penyu.

Malah, Akhyar juga gagal memberikan tambahan serangan buat Terengganu untuk menyamakan kedudukan.

Selepas 33 minit cuba mencari jaringan tambahan, Arif Aiman Hanapi dengan larian solo ke dalam kotak penalti Terengganu berjaya mendapatkan gol kedua selepas rembatan derasnya gagal ditepis oleh Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Arif Aiman sekali lagi menjaringkan gol selepas pertahanan Terengganu gagal mengesan kedudukan pemain sayap Harimau Selatan itu.

Sebelum Fitri Maskon meniupkan wisel penamat, Bergson da Silva melengkapkan kedukaan Terengganu selepas menyempurnakan hantaran Arif Aiman.

Tamat perlawanan, JDT membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Ibrahim apabila berjaya menewaskan Terengganu dengan keputusan 4-0.

Kekalahan Terengganu itu jelas membuatkan penyokong-penyokong Sang Penyu seperti sudah pasrah dengan nasib pasukan semasa perlawanan timbal balik pada 1 Februari nanti.

"Tak dinafikan JDT memang kuat, 'respect' Rahadi malam ini," kata Ispekter Aleza.

"Tahun depan kena pakai empat pemain import pertahanan," ujar Hafiz Helmi.

"Tak apalah mereka (JDT) guna lapan pemain import, kawal bola jauh beza dah. Bukan tahap dia (JDT) dah liga Malaysia ini," luah Jamali Muhamad.

"Kita belum mampu lawan JDT, tetapi tahniah pemain sebab ada semangat melawan dan cuba bermain dengan baik," jelas Mohd Ruhaifi.

Selepas ini, JDT dan Terengganu sekali lagi akan berentap pada 25 Januari bagi saingan Liga Super sebelum bertemu pada aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia 2024-2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram