DALAM memastikan kesemua pemain berada dalam keadaan optimum, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil keputusan melepaskan sebahagian daripada skuad mereka secara pinjaman pada jendela perpindahan pertama musim.
Antara yang dihantar keluar ialah pemain tengah, Endrick dos Santos yang baru sahaja menyertai kelab Selatan tanah air itu pada 2023, namun tidak meninggalkan kesan seperti mana diharapkan.
Kekurangan minit permainan menyaksikan bintang naturalisasi negara itu lebih kerap memanaskan bangku simpanan sehingga menyebabkan gaya permainannya kurang memuaskan pada bulan-bulan akhir bersama skuad Harimau Selatan.
BACA LAGI: Perjuangan belum selesai, fans titip pesanan bermakna buat Pau Marti
BACA LAGI: [VIDEO] Permohonan maaf Pau Marti tak diterima, desakan tolak naturalisasi kembali timbul
Jadi, bagi meningkatkan semula prestasinya, pihak pengurusan JDT mengambil keputusan meminjamkannya ke kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC meskipun ada laporan mengatakan kelab lokal berminat akan khidmatnya.
Perpindahan itu membuahkan hasil buat kedua-dua pihak kerana Endrick dapat beraksi secara kerap sementara pasukannya itu dapat memperkuatkan pasukan dengan setiap pengalaman dicurahkan.
Meskipun kehadirannya tidak dapat mengubah nasib mereka secara 100 peratus, pemain berusia 29 tahun tersebut sudah meninggalkan kesan besar buat Ho Chi Minh City dalam 10 penampilan liga direkodkan.
Daripada kesemua minit permainan yang dikumpulkan, Endrick berjaya menjaringkan dua gol dengan salah satu daripadanya dicetak ketika kelabnya berdepan Hoang Anh Gia Lai di tempat lawan pada Jumaat lalu.
Menariknya, jaringan itu tercipta menerusi sepakan penjuru atau turut dikenali sebagai 'Olimpiko' yang baru-baru ini turut dihasilkan Son Heung-min ketika aksi Piala Liga antara Tottenham Hotspur dan Manchester United.
Jaringan tersebut sememangnya menjadi bahan bualan ramai kerana orang ramai cukup mengagumi kebolehan bintang Korea Selatan itu dalam melencongkan bola dan mengelirukan pihak lawan.
Oleh itu, gol dicetak Endrick itu wajar menaikkan semula namanya dalam kalangan peminat, terutamanya penyokong JDT untuk melihat bekas pemain Selangor FC berkenaan untuk kembali ke dalam pasukan.
Tidak cukup dengan itu, jaringan pemain berkenaan jelas membakar semangat rakan-rakan sepasukannya apabila pada minit ke-90 permainan, Ho Chi Minh City FC mengikat kedudukan menerusi Hai Quan Doan.
Meskipun gagal meraih kemenangan ketiga mereka musim ini, satu mata yang diraih itu memastikan jurang antara mereka dengan kelab di tangga ke-10 liga, Binh Dinh terus rapat dengan hanya perbezaan gol membezakan kedua-dua pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram