SABAH FC sekadar meraih keputusan seri apabila merekodkan 1-1 bertemu Sri Pahang FC dalam aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Sepak mula sudah menunjukkan Sabah sedia untuk melakukan banyak serangan ke arah kubu Sri Pahang FC menerusi kerjasama trio hadapan mereka iaitu Joao Pedro, Saddil Ramdani dan Darren Lok.
Pasukan pelawat juga apa kurangnya apabila jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad memberi kepercayaan kepada Baqiuddin Shamsuddin, Kpah Sherman, Manuel Hidalgo dan Sean Selvaraj untuk melancarkan bahagian hadapan.
BACA LAGI: 'Siapa tak kenal Saddil?', bek sayap Pahang waspada ancaman import berbisa Sabah
BACA LAGI: Aksi berdepan JDT peluang Sabah nilai kemampuan sebenar — Martin Stano
Kedua-dua penjaga gol pasukan iaitu Damien Lim dan Zarif Irfan Hashimuddin sudah diuji apabila pasukan tuan rumah mahupun Sri Pahang saling membuat serangan bagi mendapatkan gol pendahuluan pada babak pertama perlawanan.
Sabah menjaringkan gol pertama pada minit kesembilan apabila percubaan rendah dari tonggak tengah, Stuart Wilkin tidak berhasil ditampan oleh Zarif Irfan sekali gus menggembirakan Stadium Likas.
Pasukan Pantai Timur yang menguasai 51 peratus permainan itu dan mendapat tiga sepakan sudut bagaimanapun gagal untuk menterjemahkan segala percubaan mereka dalam bentuk jaringan.
Kegagalan Tok Gajah mendapatkan gol pada separuh masa pertama membuatkan sebahagian penyokong meletakkan kesalahan di bahu Fandi susulan tidak menurunkan pemain utama seperti Mykola Ahapov, Stefano Brundo dan Sergio Aguero.
"Fandi Ahmad tidak reti susun pemain," komen penyokong Tok Gajah, Zul Ijoy.
"Keluarkan Sean, tidak pernah perform dan banyak buat kesalahan," kata penyokong Pahang, Khairul Azman.
Aksi separuh masa kedua diwarnai dengan insiden kontroversi apabila Sergio Aguero dilihat melempar bola sebagai tanda kemarahan susulan pengadil, iaitu Mohammad Zamzaidi Katimin tidak memberi apa-apa hukuman kepada Gabriel Peres yang melakukan kekasaran kepadanya pada minit ke-64.
Sri Pahang akhirnya berhasil menyamakan kedudukan apabila serangan yang dilancarkan oleh Hidalgo kepada Aguero berjaya dinoktahkah dengan cantik oleh Sherman pada minit ke-66.
Tok Gajah semakin tempang apabila Hidalgo dibuang perlawanan selepas dikesan menjatuhkan Dominic Tan pada minit ke-73 perlawanan. Wajahnya jelas menunjukkan kekecewaan dan langsung keluar dari terowong pemain.
Aksi timbal balik kedua akan berlangsung di Temerloh, Pahang pada 2 Februari 2025 bagi menentukan slot ke pentas akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram