KEKALAHAN teruk dialami Harimau Malaya di New Zealand pada Isnin menceritakan tahap sebenar skuad kebangsaan yang masih belum dapat memberi saingan sebenar di peringkat antarabangsa.
Manakan tidak, persembahan yang ditonjolkan agak mengecewakan dengan hanya beberapa pergerakan kemas dapat diberikan dengan baki daripada aksi itu menyaksikan benteng pertahanan negara diasak bertubi-tubi.
Jadi, keputusan 0-4 dicatatkan sememangnya sukar diterima penyokong bola sepak tanah air yang terus mengharapkan perubahan terhadap pasukan senior negara dengan desakan itu sudah didengari bertahun-tahun lamanya.
BACA LAGI: Malaysia ada peluang cipta sejarah, jurulatih New Zealand harap bintang EPL 'kacau' Harimau Malaya
BACA LAGI: Lama sebelum bertemu Harimau Malaya, bek otai New Zealand pernah cuba nasib di Pahang
Penyokong pasti berasa kecewa atas persembahan skuad kebangsaan.
Tumpuan pasti diberikan ke arah pengendali sementara, Pau Marti Vicente yang seperti masih belum menemui ramuan terbaik buat Harimau Malaya dengan ia dapat disaksikan menerusi pemilihan pemain yang wajar dipersoalkan.
Selain terus mengetengahkan pemain naturalisasi, jurulatih kelahiran Sepanyol itu seolah-olah tidak mempercayai bakat tempatan yang berada dalam tahap terbaik buat kelab masing-masing musim ini.
Keputusan demikian membuatkan penyokong mula berpaling arah daripadanya sambil mendambakan perubahan buat perlawanan akan datang, baik secara persahabatan mahupun kompetitif.
"Bagi saya, pemilihan 25 pemain ke kem negara perlu dinilai berdasarkan prestasi semasa kerana dalam liga kita, ramai pemain berpotensi dan sedang berada dalam prestasi terbaik serta konsisten.
"Ini masanya coach Pau Marti berani mencuba dan mengetengahkan pemain terbaik dan muda dalam skuad negara kerana sayang sekali pemain seperti Alif Zakaria, Shahrul Nizam dan Jimmy Raymond tidak berada dalam senarai panggilan kali ini," kata VEshirt Visi.
"Boleh hantar pulang dia ini sekali dengan pemain naturalisasi kerana membazir sahaja. Jika mahu ambil pemain naturalisasi, ambillah yang lebih berkualiti kerana ada yang main lebih teruk daripada yang lokal," kata Ajie Rosley.
"Balik-balik minta maaf kepada penyokong, muak untuk didengari. Latihan dah dibuat, cuma kualiti pemain tidak mencukupi. Mengaku sahajalah yang mereka akan ambil pemain warisan Gred A untuk atasi isu di posisi lemah," kata Drazmi Jfr.
Ketiga-tiga luahan kekecewaan itu disaksikan dalam ruangan komen kepada permohonan maaf Pau Marti kepada penyokong berikutan kekalahan di tangan New Zealand yang sekali gus menjatuhkan kedudukan di ranking FIFA.
Romel merupakan antara pemain naturalisasi yang wajar diketepikan terlebih dahulu. — Facebook/FAM
Jadi, sekiranya pengendali berusia 41 tahun berkenaan mahu mencuri semula hati Ekor Harimau Malaya, dia perlu menaruh kepercayaan terhadap bakat tempatan yang sedang bersinar ketika ini.
Bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud pemain warisan dan naturalisasi perlu diketepikan kerana sumbangan masing-masing masih diperlukan bagi memberikan saingan dalam perlawanan dihadapi.
Nama-nama seperti Paulo Josue dan Matt Davies sememangnya wajar diletakkan dalam senarai panggilan sementara Romel Morales dan Endrick dos Santos boleh diketepikan terlebih dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram