Wajah baharu Kongres FAM: Zainal Abidin fokus ‘ubi muda’, Dollah Salleh mahu balas kepercayaan


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Dollah (kiri) dan Zainal Abidin sudah tentu memiliki pandangan untuk menaikkan lagi mutu bola sepak tanah air.

MISI dan visi besar diletakkan dua legenda Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan sekiranya masing-masing diberikan portfolio dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengalaman kedua-dua mereka dalam arena bola sepak tempatan sudah tentu diharapkan dapat membawa dimensi baharu terhadap badan induk berkenaan.

Dollah yang kini pengurus Sri Pahang FC menjelaskan pengalamannya sebagai pemain dan ketua jurulatih skuad kebangsaan membakar semangatnya untuk terus membantu dalam apa jua aspek sekali pun.

BACA LAGI: Kongres, pemilihan tak sah punca FAM gantung KAFA

BACA LAGI: Kongres KLFA ditangguh selepas Fahmi, Nik Nazmi tarik diri

553

Dollah Salleh (kanan) pernah bertugas sebagai pengendali Harimau Malaya.

"Saya sudah menabur bakti sebagai pemain dan jurulatih, kenapa tidak sebagai penasihat pula kali ini?

"Saya mahu membalas jasa buat Malaysia dalam apa jua aspek sekali pun. Saya sudah lama dalam bidang ini, jadi saya mahu menambah baik," katanya lagi.

Bagi Zainal Abidin pula, dia yang pernah diangkat sebagai penyerang prolifik Harimau Malaya menjelaskan cita-citanya adalah untuk meningkatkan mutu pembangunan belia demi masa depan lebih cerah.

"Mereka percaya dengan khidmat saya dalam sukan ini akan membawa manfaat buat Harimau Malaya. Jadi, saya perlu membalas kepercayaan itu.

images

Zainal Abidin wajar diangkat legenda Harimau Malaya.

"Sekiranya saya berada dalam senarai exco, saya mahu menaik taraf dan meningkatkan mutu pasukan belia dengan sasaran menjadikan Harimau Malaya digeruni semula.

"Kita perlu mencari pelapis kepada mendiang Datuk R Aramugam, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Soh Chin Ann," katanya.

Calon yang layak untuk bertanding akan menerima borang Pengesahan Penerimaan Calon dan perlu memulangkannya sebelum 23 Januari sama ada mahu menerima atau menolak pencalonan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengundian FAM akan menghantar nama setiap calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis untuk menilai latar belakang selain menyemak status muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram