KEM Terengganu FC (TFC) kini tersenyum lebar apabila kelab itu secara rasmi mengumumkan Akhyar Rashid sebagai pemain tetap untuk pasukan Pantai Timur berkenaan selepas dipinjamkan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) awal musim 2024/2025 lalu.
Akhyar yang juga beraksi sebagai pemain sayap itu sah menandatangani kontrak selama dua musim bersama Terengganu.
Dalam pada itu, menjelang pertembungan yang penuh mendebarkan, 'ekor' Sang Penyu pastinya menarik nafas lega kerana pemain kelahiran Kedah itu boleh beraksi bertemu JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Gong Badak pada Jumaat.
BACA LAGI: Makin dapat 'market' di Thailand, JDT wajar diberi kredit tonjol prestasi cemerlang pemain Malaysia
BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL
Akhyar Rashid sah milik TFC sepenuhnya selepas menandatangani kontrak pemain tetap pasukan itu.
Hal ini kerana, kehadiran pemain yang sebelum ini berstatus pinjaman JDT itu sudah pasti memberikan impak yang positif buat pasukan dalam misi mengintai peluang ke pentas final.
Meskipun kini bergelar sebagai pemain tetap Sang Penyu, terdapat tiga momen yang pastinya diingati oleh penyokong tanah air ketika pemain sayap itu menabur bakti bersama skuad Harimau Selatan.
1. Saga perpindahan dengan Kedah
Saga perpindahan Akhyar adalah yang paling sensasi dalam jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2019.
Seperti yang diketahui umum, isu berkaitan Akhyar menjadi tular selepas Kedah pernah mengeluarkan kenyataan bahawa JDT telah menggunakan pendekatan ‘pintu belakang’ dalam usaha mendapatkan bintang Harimau Malaya yang semakin meningkat naik ketika itu.
Ketika itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan bahawa Akhyar masih mempunyai kontrak selama setahun dan berhajat untuk memanjangkan isu tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi memperjuangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, isu tersebut diselesaikan selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Akhyar perlu membayar pampasan sebanyak RM75,000 dan jumlah tebus kontrak sebanyak RM210,000.
2. Gol kemenangan berdepan Ulsan
Akhyar yang juga penyerang kebangsaan itu muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu JDT menewaskan pasukan gergasi, Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 7 November 2023.
Akhyar yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-85 ketika itu menggantikan Oscar Arribas berjaya menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian.
Jaringan pada minit ke-87 yang dilakukan dalam perlawanan keempat Kumpulan I di SSI membuktikan mengapa Akhyar cukup terkenal dengan jolokan ‘Super Sub’ dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya peminat setia JDT.
Manisnya, jaringan Akhyar itu turut menewaskan penjaga gol kebangsaan Korea Selatan yang beraksi di Piala Dunia 2018 dan 2022 iaitu Jo Hyeon-woo.
Akhyar sebelum ini pernah didenda RM15,000 kerana lewat ke sesi latihan ketika masih bersama JDT.
3. Lewat hadir ke sesi latihan
Tahukah anda bahawa pemain sayap berketinggian 1.69 meter, Akhyar pernah didenda oleh JDT kerana lewat hadir ke latihan bola?.
Seperti yang diketahui, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), menetapkan undang-undang dan polisi tegas terhadap pasukan JDT untuk memastikan mereka sentiasa beretika dan berdisiplin.
TMJ pernah mendedahkan bahawa denda bagi setiap kesalahan boleh mencecah puluhan ribu ringgit, termasuk kesalahan penyalahgunaan media sosial oleh pemain dan isteri, serta kelewatan hadir ke latihan.
Menurut TMJ, Akhyar adalah antara pemain yang pernah didenda dan terpaksa membayar RM15,000 akibat kelewatan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram