[VIDEO] Lepas cetak gol di Gong Badak, Bergson menang hati fans Ganu, tak mustahil ekor HM selepas ini


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Bergson menjaringkan gol terakhir perlawanan yang membolehkan pasukannya meraih kemenangan 4-0. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

BEKALAN selesa diperoleh Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mereka menundukkan Terengganu FC 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024/25 pada Jumaat.

Meskipun tuan rumah bertahan dengan baik pada babak pertama, kecemerlangan jentera serangan skuad Harimau Selatan tidak boleh dinafikan, lebih-lebih lagi pada babak kedua permainan.

Kualiti dimiliki itu menyaksikan skuad bimbingan Hector Bidoglio menambah luka buat skuad Sang Penyu dengan Arif Aiman Hanapi menjaringkan dua gol sementara Bergson da Silva meraih gol keempat perlawanan.

BACA LAGI: Hanya TMJ tahu apa yang terbaik, saya sayang Malaysia — Bergson

BACA LAGI: Tak pernah terfikir akan dinaturalisasi, Bergson sedia beri segalanya buat Malaysia

473621011_1181378340024807_6738074578238662686_n

Skuad Harimau Selatan meraih kelebihan empat gol dalam pusingan separuh akhir Piala Malaysia. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, penyokong Terengganu FC kelihatan tidak begitu kecewa dengan kekalahan itu memandangkan mereka dari awal sudah berasakan keputusan seri sudah memadai melihat kepada kualiti pihak lawan.

Jadi, tidak hairanlah apabila sebahagian daripada mereka, terutamanya dalam kalangan anak kecil kelihatan teruja untuk mengambil gambar bersama pemain JDT selepas perlawanan tamat.

Dalam satu video TikTok dimuat naik BoyRangga66, terdapat sekumpulan penyokong berswafoto bersama penyerang Harimau Selatan, Bergson da Silva yang meluangkan sedikit masa sebelum pulang dengan rakan sepasukan.

Pemain kelahiran Brazil itu kelihatan ramah sambil melayani penonton Terengganu FC dengan senyuman tidak lekang dari wajahnya yang sudah tentu meninggalkan memori manis buat mereka.

Peminat setia Sang Penyu juga tampak menikmati momen berkenaan meskipun Bergson menjaringkan gol di laman mereka kerana masing-masing tahu, saat sedemikian sukar untuk diulangi pada masa akan datang.

Lebih menarik lagi, pengguna media sosial lain di ruangan komen TikTok itu mengatakan pemain berusia 33 tahun tersebut akan terus berbuat demikian, termasuk selepas diberikan status naturalisasi dalam masa terdekat.

"Selepas ini, apabila dia menyarung jersi Harimau Malaya, lebih ramai penyokong akan bergambar bersamanya," kata S1r Ak1m.

"Patutlah dia menjadi kesayangan bola sepak di Malaysia tidak kira dari mana sekali pun. Dia ini peramah dan tidak sombong. Sudah biasa dengan budaya di Malaysia," kata 80SSDin.

"Tidak sabar rasanya untuk melihat Bergson meledak bersama skuad kebangsaan," kata Angah Utaqa.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mengesahkan Bergson akan diberikan status naturalisasi selepas memenuhi kriteria serta tempoh ditetapkan FIFA.

Kehadirannya dalam Harimau Malaya sudah tentu akan membolehkan pasukan negara untuk sekurang-kurangnya layak ke Piala Asia 2027 dengan syarat dia dapat diturunkan bagi kempen kelayakan bermula Mac depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram