KONGRES bagi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang dijadualkan pada 7 September terpaksa ditangguhkan.
Keputusan tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa dengan penarikan diri dua calon presiden menjadi punca penangguhan.
Sebelum ini, dua calon yang merupakan ahli Kabinet iaitu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berminat dengan jawatan tersebut.
BACA LAGI: Tidak dibenar pegang jawatan sukan, Nik Nazmi tarik diri jadi calon Presiden KLFA
BACA LAGI: Dalam minggu ini, selesailah gaji mereka — Pemangku Presiden KLFA
Namun begitu, kedua-duanya terpaksa menarik diri selepas Kabinet tidak membenarkan mana-mana ahlinya bertanding jawatan dalam persatuan sukan.
"Kami terima keputusan tersebut, tambahan pula mereka adalah daripada parti yang sama (Parti Keadilan Rakyat), jadi kami tak mahu ada yang bergaduh sesama sendiri. Jadi, biarkan ia dan kita move on.
"Jadi sekarang ada dua calon utama yang menarik diri, kami akan tangguhkan dulu pemilihan. Kami akan lihat dahulu jika ada calon yang boleh bertanding.
"Tapi, pemilihan akan diadakan juga pada tahun ini dalam masa sebulan, dua," kata Nokman.
Nokman akur dengan keputusan Kabinet dengan tidak membenarkan ahlinya bertanding jawatan mana-mana persatuan sukan.
Dia memahami kapasiti seorang menteri yang terikat dengan tugasan harian jadi lebih baik individu lain bertanding jawatan tersebut.
"Tiada masalah untuk mempunyai ahli politik (sebagai presiden) tetapi bukannya menteri. Menteri ada tugasan harian jadi jika mereka ada jawatan di persatuan sukan pasti akan terbeban.
"Bagi ahli politik pula, tiada masalah jika seseorang itu tiada jawatan di Kabinet atau setiausaha atau pegawai kepada menteri, selagi dia boleh membawa perubahan kepada persatuan, tiada masalah," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram