Kongres, pemilihan tak sah punca FAM gantung KAFA


  • Podium
  • Selasa, 24 Dis 2024

Penggantungan selepas FAM memutuskan Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi Sesi 2024-2028 tidak sah.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) secara majoriti mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) daripada menjadi Ahli Gabungan FAM berkuatkuasa serta-merta bermula pada Isnin.

Menerusi kenyataan rasmi pada Selasa, tindakan itu dibuat selepas memutuskan Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi Sesi 2024-2028 yang sudah berlangsung pada 19 Disember lalu adalah tidak sah.

Ia juga disebabkan terdapatnya gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres itu selain prosedur dan tatacara pengendalian kongres itu dilakukan secara tidak teratur mengikut prosedur yang ditetapkan oleh FAM.

BACA LAGI: 'Tan Sri juga tinggalkan KAFA', kata-kata Annuar Musa tak cukup hidupkan TRW

BACA LAGI: 'Penat tuntut ilmu takkan rugi', ramai kecewa sikap ibu bapa hina pendidikan KAFA

Bukan itu sahaja, badan induk berkenan juga memaklumkan bahawa tindakan itu diambil berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.

"Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis telah bersetuju dengan cadangan tindakan yang telah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.

"Keputusan penggantungan ini telah dibuat berdasarkan surat FAM bertarikh 21 Disember kepada KAFA iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM berkenaan aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028.

"Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM ini merupakan satu jawatankuasa adhoc yang telah ditubuhkan FAM atas arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

"Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM pada mesyuarat yang diadakan pada Khamis, 19 Disember 2024 telah memutuskan bahawa Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 adalah tidak sah dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia," kata kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, badan induk berkenaan meminta KAFA untuk mengadakan semula kongres pemilihan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram