SELANGOR FC berdepan ujian permulaan musim apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman berat kepada Gergasi Merah susulan melanggar tiga peraturan mereka semasa aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Tiga kesalahan tersebut melibatkan tindakan penyokong menayangkan kain rentang yang dilarang mengikut Kod Etika dan Disiplin AFC, menyaksikan mereka didenda keseluruhan berjumlah AS$24,500 (RM110,000).
Wakil Malaysia itu menerima hukuman daripada konfederasi ketika kemenangan 2-1 ke atas wakil Korea iaitu Jeonbuk Hyundai FC pada aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada 23 Oktober lepas.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Nice game for who?', kapten JDT 'koyak' lepas JDT tewas kepada 14 pemain Shandong
BACA LAGI: [VIDEO] Natxo Insa mohon maaf berhubung isu JDT tewas kepada 14 pemain Shandong
"Penonton milik defendan (Selangor FC) mempamerkan sebuah sepanduk yang mengandungi banyak mesej dan/atau imej yang menghina, agama dan/atau politik.
"Defendan gagal memenuhi kewajipannya untuk, (i) mematuhi dan melaksanakan peraturan keselamatan sedia ada dan mengambil setiap langkah keselamatan langkah berjaga-jaga yang dituntut oleh keadaan sebelum dan semasa perlawanan.
"Dan (ii) memastikan bahawa undang-undang dan ketenteraman dikekalkan dalam stadium dan persekitaran terdekatnya, sejak defendan tidak memantau pematuhan terhadap kelulusan yang diberikan oleh AFC.
"Penonton kepunyaan defendan tidak dilarang oleh defendan daripada membawa sepanduk ke dalam stadium dan mempamerkannya. Wakil defendan lewat memasuki padang pada separuh masa kepada permulaan masa kedua perlawanan dengan tiga minit dan 25 saat," katanya.
Sementara itu, tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa turut menerima hukuman daripada AFC susulan kenyataan media yang dikeluarkannya selepas aksi menentang Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Shandong Taishan dan JDT pada 26 November lalu.
Natxo menerusi laman Instagram miliknya memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang dilakukan olehnya selepas aksi berkenaan.
Pemain berusia 38 tahun itu perlu melunaskan denda sebanyak AS$5,000 (RM22,000) kepada AFC atas kegagalannya mengawal perasaannya ketika ditemu bual para pengamal media selepas tewas 0-1 kepada wakil kelab China itu.
Natxo yang menjadi antara pemain yang beraksi sepenuh masa ketika itu ditanya dengan soalan tentang bagaimana perasaannya apabila gagal merebut mata dalam perlawanan yang sangat menarik.
"Menarik untuk siapa? Untuk penyokong? Untuk pengadil? Untuk kami? Untuk siapa?," soalnya kembali beberapa kali dengan keras.
Katanya, dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan, JDT dilayangkan beberapa kad kuning dan ia bukan sesuatu yang normal.
Ketika itu, Natxo juga menegaskan bahawa cara permainan mereka dengan pasukan China yang kononnya dibarisi 13 hingga 14 pemain (gara-gara bantuan pegawai perlawanan) juga adalah berbeza waktu itu.
Dalam masa sama, pengurus pasukan bola sepak wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy Rumsani juga menerima hukuman daripada AFC susulan menggunakan bahasa kesat terhadap pengadil perlawanan ketika aksi kumpulan menentang Abu Dhabi Country Club pada 9 Oktober lepas.
Muhd Arziz digantung empat perlawanan kerana melakukan kesalahan di bawah Perkara 50.1 Tatatertib dan Kod Etika AFC dan diminta untuk membayar denda sebanyak AS$5,000 (RM22,000) kepada badan induk berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram