[VIDEO] Insiden 'cabul' Arif Aiman, Theerathon Bunmathan digantung 3 perlawanan


  • Podium
  • Khamis, 16 Jan 2025

Semakan VAR menyaksikan Theerathon 'mencabul' Arif dan AFC memutuskan penggantungan tiga perlawanan ke atas Bunmathan sebagai hukuman atas tindakan tersebut.

PEMAIN pertahanan Buriram United, Theerathon Bunmathan dijatuhkan hukuman penggantungan tiga perlawanan susulan tindakan 'nakal' terhadap bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman.

Tindakan 'nakal' kapten skuad kebangsaan Thailand itu menyebabkan Arif terbaring kesakitan dan semakan oleh VAR menyaksikan Bunmathan diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Arab Saudi.

Menurut laporan Siamsports, Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengenakan penggantungan tiga perlawanan ke atas Bunmathan sebagai hukuman atas tindakan tersebut.

BACA LAGI: KRW lantik Irfan Bakti sebagai jurulatih, ramai petik nama legenda termasuk Indra Putra ikut sama

BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL

“Berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin, keputusan menyaksikan Theerathon Bunmathan telah melakukan tindakan ganas.

“Jadi terdapat dua hukuman tambahan yang digabungkan dengan satu penggantungan automatik, menjadikan jumlahnya tiga perlawanan,” lapor Siamsports.

Oleh itu Theerathon bakal terlepas dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Ulsan HD FC dan Gwangju FC yang dijadualkan pada 12 dan 18 Februari 2025.

Pada 3 Disember lalu, Buriram United hadir ke Johor bagi aksi keenam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri yang menyaksikan keputusan berakhir tanpa jaringan.

Walau bagaimanapun, aksi itu dicemari dengan tiga layangan kad merah oleh pengadil perlawanan dengan dua daripadanya untuk pemain JDT, Murillo Henrique dan Park Jun-heong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram