GERAKAN Selamatkan Kelantan (GSK) sebelum ini dilancarkan sebahagian individu yang dahulunya pemegang saham Kelantan FC selepas berasa muak terhadap sikap pemilik kelab Pantai Timur itu, Norizam Tukiman.
Ini susulan tindakan usahawan kelahiran Johor tersebut yang terus berdiam diri selepas pasukan tersebut dibubarkan berikutan masalah kewangan kronik dialami sepanjang 2023.
Jadi, selepas beberapa bulan membuat tuntutan, ahli GSK kemudian mengambil keputusan menubuhkan Kelantan Red Warriors (KRW) FC dengan Nik Hafiz Nik Naim dilantik sebagai Presiden.
BACA LAGI: Tolak tawaran RM3 juta, GSK kekal keputusan beli TRW dengan nilai RM1
BACA LAGI: 'Dari penyokong untuk penyokong', KRW muncul simbol harapan bola sepak Kelantan
Norizam masih berdiam diri mengenai situasi semasa skuad TRW. — Facebook/Kelantan FC
Penubuhan pasukan baharu itu dirasmikan kira-kira seminggu lalu, namun dilancarkan di hadapan penyokong dalam satu majlis diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Usaha itu sememangnya menerima respons daripada peminat bola sepak Kelantan memandangkan pasukan itu akan menggunakan logo yang pernah digunakan ketika skuad The Red Warriors (TRW) memonopoli Liga Super.
Bagaimanapun, di sebalik keriangan itu, masing-masing mengharapkan pihak pengurusan KRW lebih cakna mengenai sistem bola sepak tempatan kerana khuatir mereka akan berdepan nasib sama seperti Kelantan FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
"Asalkan gaji tidak sangkut dan pemain bagus, insya-ALLAH warga Kelantan akan kembali penuhkan stadium. Mereka tidak kisah siapa dan apa pun pasukan, mereka hanya mahukan pasukan yang kuat dan stabil sahaja.
Kelantan United dan Kelantan FC terumbang-ambing dari segi pengurusan. — Facebook/Kelantan United FC
"Jangan hanya melepaskan batuk di tangga. Pastikan bajet tidak berlebihan, pemain dan jurulatih bagus. Jangan baru hendak mula, sudah mengeluarkan bajet terhad," kata Mohd Zaki Hassan.
"Bagus, tetapi harapnya lebih stabil dalam kesemua aspek. Jangan pula jangkiti 'penyakit' kelab-kelab bola sepak yang ada sekarang ini," kata Remmy Hashim.
Beberapa tahun kebelakangan ini, penyokong bola sepak di negeri itu seperti sudah trauma dengan sukan berkenaan kerana kedua-dua kelab yang bertanding dalam Liga Super gagal membuahkan sebarang hasil.
KDN FC yang musim lalu dikenali sebagai Kelantan United FC sememangnya diharapkan dapat mengubah situasi tersebut, namun mula kedengaran masalah gaji tertunggak dialami pemain.
Sekiranya KRW FC dapat membawa nafas baharu meskipun terpaksa memulakan perjalanan dalam liga amatur, tidak mustahil bagi penyokong memberikan sokongan dengan membanjiri stadium. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram