Usah risau Feroz, 3 bintang pernah cedera teruk termasuk Syafiq Ahmad akhirnya pulih bawah jagaan JDT


  • Podium
  • Khamis, 16 Jan 2025

Kecederaan dialami Feroz diharapkan tidak memberi kesan jangka masa panjang terhadap karier pemain itu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KHABAR duka diterima pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Feroz Baharudin apabila dia dilaporkan mengalami kecederaan anterior krusiat ligamen (ACL) seperti mana dikongsikan di media sosial peribadinya.

Kehilangan bek muda itu tidaklah memberi tamparan hebat terhadap skuad Harimau Selatan kerana masih terdapat lambakan pilihan yang boleh diturunkan ketua jurulatih, Hector Bidoglio di peringkat Asia mahupun domestik.

Namun, bagi Feroz sendiri, kecederaan sedemikian pasti memberi tamparan hebat terhadap kariernya memandangkan pemain yang berada dalam situasi sedemikian akan sukar untuk kembali ke tahap sebenar meskipun sudah menerima rawatan terbaik.

BACA LAGI: 'Terima kasih 2024/2025, will come back stronger', Feroz Baharudin rehat panjang akibat kecederaan ACL

BACA LAGI: [VIDEO] Feroz Baharudin jadi igauan, Jese Rodriguez harapan magis fans JDT lawan Kim Pan-gon

WhatsApp Image 2025-01-15 at 5.13.53 PM

Hantaran Feroz yang menceritakan kecederaan dialaminya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Malah, anak jati Kota Tinggi, Johor itu sudah tentu berasa kecewa kerana sepanjang musim 2024/25, dia sudah menjadi antara tonggak utama JDT, terutamanya selepas menjaringkan gol pertama Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Tetapi, Feroz tidak perlu gusar kerana sejarah terdahulu menyaksikan jaguh bola sepak tanah air itu tidak pernah mengabaikan setiap pemain yang mengalami kecederaan kerana masing-masing akan diberikan penjagaan rapi.

Tidak cukup dengan itu, terdapat tiga pemain yang pernah berada dalam situasi lebih teruk, namun sudah kembali beraksi selepas JDT memberikan mereka rawatan terbaik dan berkelas dunia.

1. Syamer Kutty Abba

Ketika Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, bahagian tengah pasukan kelihatan serba lengkap dengan gandingan Syamer Kutty Abba, Brendan Gan dan Nor Azam Azih merupakan gabungan terbaik.

Bagaimanapun, trio tersebut tidak dapat diteruskan ketika Kim Pan-gon memegang jawatan itu apabila Syamer mengalami kecederaan pada 2022 dengan kehilangannya jelas membawa kesan hebat.

Selain bijak membaca perlawanan, anak jati Pulau Pinang itu mempunyai kebolehan untuk mengawal tempo permainan dengan melakukan hantaran tepat untuk mencipta peluang buat rakan sepasukan.

2941168

Syamer kini merupakan tonggak skuad Harimau Kumbang.Facebook/Penang FC

Jadi, untuk memastikan Syamer kembali ke tahap terbaik, JDT sanggup menanggung kos rawatan besar apabila menghantarnya ke Sepanyol bagi tujuan pembedahan lutut di bawah pengawasan pakar, Dr Juan Manuel Boffa.

Perbelanjaan besar itu membuktikan kelab Selatan tanah air itu tidak kisah untuk membuat pelaburan bagi memastikan setiap pemainnya yang cedera menerima penjagaan terbaik.

Selepas kira-kira dua tahun sahaja menjalani pembedahan berkenaan, Syamer kini sudah kembali menjadi tonggak pasukan di atas padang, baik di peringkat kelab bersama Penang FC mahupun buat skuad kebangsaan.

2. Rozaimi Rahman

Kira-kira 15 tahun lalu, Rozaimi Abdul Rahman pernah diangkat sebagai antara prospek terhangat, lebih-lebih lagi selepas bersinar dalam Pestabola Merdeka dan Piala AFF buat Harimau Malaya.

Namun, kariernya segera merudum selepas pemain itu terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Likas, Sabah pada 2015 yang turut mengorbankan nyawa sepupunya selain memaksanya berehat untuk tempoh panjang.

Insiden itu menyaksikan pemain sayap terbabit tidak dapat beraksi untuk beberapa bulan, namun ia tidak menghalang JDT daripada menandatanganinya selepas dia meninggalkan kelab di negeri kelahirannya tersebut.

470493845_9942101092478283_1898690101878605795_n

Rozaimi beraksi dalam Piala MFL buat skuad muda Sang Badak.Facebook/Sabah FC

Sepanjang berada di Selatan tanah air, Rozaimi bukanlah nama yang kerap diberikan minit permainan, tetapi dia diberikan peluang untuk fokus kepada sesi rawatan dan hanya diletakkan dalam skuad simpanan.

Selepas kira-kira lima tahun bersama JDT, pemain itu akhirnya mengambil keputusan untuk mencuba nasib bersama pasukan lain dengan menyertai Kedah pada 2021 yang bagaimanapun tidak dapat mengembalikannya ke tahap sebenar.

Tetapi, penjagaan rapi diberikan bersama skuad Harimau Selatan memastikan Rozaimi sembuh sehingga membolehkannya beraksi sehingga hari ini bersama Sabah FC II dalam kempen Piala MFL.

3. Syafiq Ahmad

Selain Rozaimi, seorang lagi pemain kebangsaan yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah Syafiq Ahmad sehingga menyaksikan penyerang tersebut kehilangan bayi berusia 22 hari, pembantu rumah warga Indonesia serta ibu mertuanya.

Insiden yang berlaku pada 2020 itu sudah tentu memberi kesan besar terhadap karier pemain yang ketika itu sedang meningkat naik bersama skuad Harimau Selatan meskipun perlu bersaing dengan bintang import.

2702679

Syafiq pernah terfikir untuk menamatkan kariernya lebih awal.Facebook/KDA FC

Setelah terlibat dalam kemalangan terbabit, Syafiq terpaksa berehat beberapa bulan untuk pulih daripada kecederaan fizikal serta mental dialaminya seperti mana pernah didedahkan pemain itu sendiri.

Bagaimanapun, selepas menerima sokongan daripada pihak kelab, penyerang kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu kembali yakin untuk berada di atas padang dan meneruskan kariernya.

Meskipun tidaklah selincah seperti mana pernah ditonjolkan satu ketika dahulu, Syafiq masih boleh beraksi di tahap terbaik kerana cemerlang sebagai pemain pinjaman buat Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram