Mustahil disambar JDT, Wenzel-Halls boleh pilih Selangor-Terengganu-Sabah jika benar tinggalkan Penang


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Wenzel-Halls mencuri perhatian ramai selepas meledak hatrik ketika berdepan Perak FC di laman sendiri. — Facebook/Penang FC

PELBAGAI isu menarik boleh dikupas usai pertemuan dua kelab Utara tanah air, Penang FC dan Perak FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad lalu kerana aksi tersebut berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Kealpaan benteng pertahanan tuan rumah yang mensia-siakan kelebihan dua gol dan impak kehilangan Jesper Nyholm buat skuad The Bos Gaurus (TBG) adalah sedikit sebanyak hal yang masih hangat diperkatakan.

Namun, fokus utama masih diarahkan kepada kualiti pemain sayap Harimau Kumbang, Dylan Wenzel-Halls yang mencatatkan hatrik pada separuh masa pertama dengan ketiga-tiga gol dijaringkan cukup memukau.

BACA LAGI: Kecewa jadi punca penalti Perak, fans Penang mula pasrah andai Syamer pulang ke JDT

BACA LAGI: Andai tiada lagi Kedah, 'Raja Utara' milik Perak atau Penang?

2843125

Skuad Harimau Selatan tidak mempunyai perancangan untuk membawa masuk pemain sayap baharu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tidak cukup dengan itu, persembahannya secara menyeluruh membuktikan nilainya jauh meninggalkan rakan sepasukan kerana dia beberapa kali mengelirukan pihak lawan menggunakan kepantasan dan kelincahannya.

Sumbangan itu membuatkan peminat bola sepak tempatan menyebut namanya di media sosial kerana masing-masing beranggapan pemain Australia terbabit sudah cukup layak untuk ke gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tetapi, melihat kepada lambakan pilihan dalam skuad Harimau Selatan, mereka sudah tentu tidak akan terburu-buru untuk membuat tawaran kerana fokus ketika ini diberikan terhadap kelemahan pasukan di posisi tengah.

Sekiranya kelab Selatan tanah air tersebut enggan menyambar pemain berusia 27 tahun itu, terdapat tiga kelab lain yang sudah tentu berebut andai Wenzel-Halls tidak menyambung kontraknya bersama Penang FC.

1. Selangor FC

Serangan asid dialami Faisal Halim menyaksikannya terus bergelut untuk kembali ke tahap sebenar meskipun keyakinannya setiap kali memegang bola sudah semakin selesa berbanding beberapa bulan lalu.

Kehilangan sentuhannya dalam jentera serangan sememangnya membebankan penyerang sayap kiri, Alvin Fortes memandangkan dia tidak memiliki gandingan berkualiti untuk terus membantu Ronnie Fernandes.

Jadi, sekiranya gandingan tiga serangkai itu dikekalkan bagi kempen akan datang, mereka perlu membawa masuk Wenzel-Halls yang bukan sahaja boleh beraksi di kedua-dua bahagian sayap, malah cukup berfungsi setiap kali diberikan peluang.

3116606

Fortes memerlukan gandingan di posisi sayap untuk menajamkan jentera serangan pasukan. Facebook/Selangor FC

Isu kewangan sememangnya tidak membelenggu kelab Gergasi Merah itu yang sudah tentu akan terus menerima suntikan dana daripada kerajaan negeri atau syarikat swasta dalam usaha pasukan mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Persoalannya, adakah pemain kelahiran Australia tersebut sanggup berada di bangku simpanan memandangkan dia memiliki kualiti untuk menjadi nadi utama buat mana-mana pasukan yang disertainya.

2. Sabah FC

Melihat kepada statistik Liga Super 2024/25, skuad Sang Badak tidak mengalami sebarang isu dari segi serangan kerana 32 gol yang dijaringkan adalah rekod kedua terbaik di belakang JDT.

Namun, sekiranya Sabah FC mahu berada di tahap lebih tinggi, mereka perlu bercita-cita besar dengan membawa masuk seorang pemain sayap yang beraksi dengan konsisten sepanjang musim.

471322800_998061459027212_8382268056783593982_n

Skuad Sang Badak mempunyai jentera serangan ampuh musim ini. Facebook/Sabah FC

Wenzel-Halls merupakan calon terbaik dimiliki kerana dia mempunyai kesungguhan cukup hebat setiap kali diturunkan dalam memastikan pasukan diwakili membawa pulang tiga mata penuh.

Sekiranya penyerang itu menyertai Sabah FC, jentera serangan mereka sudah tentu menjadi lebih ampuh dengan gandingannya bersama Saddil Ramdani dan Joao Pedro akan sukar untuk disekat pihak lawan.

Malah, kehadirannya boleh mengisi kekosongan sekiranya Saddil menamatkan tempoh perkhidmatannya di Borneo tanah air kerana terdapat khabar angin kencang yang mengatakan tonggak pasukan itu akan kembali ke Indonesia.

3. Terengganu FC

Perpindahan ke Terengganu FC juga boleh menjadi realiti buat Wenzel-Halls sekiranya pemain itu mahu terus beraksi dalam Liga Super, namun mahu mencuba nasib dalam sebuah pasukan lebih berkualiti.

Musim ini, skuad Sang Penyu sememangnya tidak berdepan sebarang masalah dari segi serangan kerana mereka memiliki Akhyar Rashid dan Safawi Rasid yang beraksi di posisi sayap.

IMG_2439-1-1050x700

Wenzel-Halls boleh menggantikan Akhyar sekiranya dia pulang ke JDT. Facebook/Terengganu FC

Namun, berdasarkan khabar angin yang deras bertiup, terdapat kemungkinan kedua-dua pemain itu akan kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan memandangkan kontrak pinjaman mereka akan tamat pada penghujung musim.

Sekiranya Terengganu FC kehilangan khidmat dua pemain sayap terbabit, mereka perlu segera mencari pengganti segera dengan Wenzel-Halls merupakan antara calon terbaik bagi mengisi kekosongan itu.

Gaya permainannya yang seakan-akan Akhyar boleh mencipta masalah terhadap pihak lawan, lebih-lebih lagi sekiranya barisan kejurulatihan memberikan kebebasan buatnya di posisi diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram