[VIDEO] Feroz Baharudin jadi igauan, Jese Rodriguez harapan magis fans JDT lawan Kim Pan-gon


  • Podium
  • Selasa, 05 Nov 2024

Tangkap layar video kesilapan Feroz ketika bertemu Gwanju FC pada 22 Oktober lalu.

KESILAPAN pemain pertahanan muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Feroz Baharudin menjadi 'igauan malam' buat penyokong-penyokong Harimau Selatan dalam pertemuan menentang Ulsan Hyundai di saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa (5 November).

Ini kerana kesilapan Feroz ketika berdepan Gwangju FC menyebabkan Harimau Selatan berputih mata apabila tewas di tangan kelab Korea Selatan itu dengan keputusan 1-3 pada 22 Oktober lalu.

Namun begitu, Feroz berjaya membayar semula kesilapan yang dilakukannya itu dengan satu jaringan sagu hati menerusi tandukan selepas menyempurnakan hantaran sepakan penjuru oleh Juan Muniz.

BACA LAGI: [VIDEO] Duduk bawah agensi bintang dunia, pemain warisan berdarah Pulau Pinang perkuat Harimau Malaya?

BACA LAGI: Metodologi tersusun, sokongan TMJ antara rahsia Akademi JDT hasil pemain persis Arif Aiman

Disebabkan itu, penyokong JDT risau insiden serupa akan berlaku ketika Harimau Selatan perlu mengutip tiga mata penting untuk terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam peringkat kumpulan ACLE musim ini.

Ulsan Hyundai yang hadir dengan semangat baharu selepas menjuarai Liga Korea Selatan musim ini pastinya menjadi halangan besar buat JDT untuk meraih kemenangan di halaman sendiri.

Kelab Korea Selatan itu pula dilihat mempunyai kelebihan apabila pengendali Ulsan, Kim Pan-gon amat mengenali corak permainan serta pemain-pemain JDT sendiri apabila pernah membimbing Harimau Malaya selama hampir dua tahun.

Rata-rata penyokong JDT juga berharap bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez dapat diturunkan dalam kesebelasan utama atas faktor pengalaman beraksi di kejohanan berintensiti tinggi seperti Liga Juara-Juara Eropah (UEFA).

Jese juga sebelum ini sudah menjaringkan satu gol ketika perlawanan persahabatan JDT menentang Balestier Khalsa pada 15 Oktober lalu.

Dengan Jese sudah membuka akaun golnya, ramai penyokong JDT tidak sabar melihat bekas pemain Real Madrid itu mewarnai cabaran pasukan berdepan Ulsan Hyundai.

"Harap jangan bolos awal macam sebelum ini, kena tenang dapat rentak dulu, kena cepat 'settledown' terutamanya Feroz," kata Wan Ismail.

"Ayuh Jese bawa kami magis Real Madrid lawan Ulsan," ujar Fazil Yahya.

"Bergson, Heberty dan Jese dalam kesebelasan utama baru seronok tengok lawan Ulsan," jelas Fikri Hunter.

Melihat kepada corak permainan JDT yang semakin berkembang, terutama di bawah bimbingan Hector Bidalgio dan sokongan padu daripada peminat, ada kemungkinan besar mereka akan memberikan saingan sengit kepada Ulsan Hyundai.

Harapan penyokong JDT adalah agar perlawanan ini menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar di pentas Asia, sekali gus mengukuhkan kedudukan JDT dalam kumpulan ACLE untuk mara ke pusingan kalah mati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram