'Malaysia umpama gergasi sedang tidur', visi dan misi TMJ buat Rob Friend teruja ketuai revolusi Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Friend teruja dengan tugasnya sebagai CEO Harimau Malaya. — Facebook/FAM

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mengaku yang dirinya teruja untuk membawa skuad kebangsaan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Baru saja memulakan tugas di Wisma FAM, Kelana Jaya, Friend mengakui dia teruja melihat visi dan misi dibawa oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan di dalam dan luar padang.

Kata Friend, dia menganggap Harimau Malaya sebagai sebuah pasukan bola sepak yang sedang tidur dan perlu dikejutkan untuk mengaum.

BACA LAGI: 'Tengok hasil baru komen', 'ekor' Harimau Malaya mahu tunggu dan lihat impak taktikal Rob Friend

BACA LAGI: Faham budaya bola Malaysia cabaran terbesar Rob Friend majukan Harimau Malaya

"Ini merupakan satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur," kata Friend.

"Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemegang taruh terlibat seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini," ujar Friend.

Dalam masa yang sama, Friend menjelaskan yang visi dan misi dibawa oleh Tunku Ismail membuatkan kenapa dia mahu mengetuai revolusi Harimau Malaya.

Padanya, Tunku Ismail merupakan individu paling berwawasan pernah ditemuinya.

"Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda merupakan orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.

"Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan tentang projek revolusi skuad Harimau Malaya. Pada pendapat saya, ini merupakan projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global. Saya turut melihat bahawa ini merupakan peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram