Makin dapat 'market' di Thailand, JDT wajar diberi kredit tonjol prestasi cemerlang pemain Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Kehebatan JDT di pentas domestik dan antarabangsa telah memberikan impak besar terhadap reputasi pemain Malaysia di mata pasukan-pasukan luar terutamanya di peringkat Asean.

KELAB Thailand kini dilaporkan berebut-rebut untuk mendapatkan khidmat pemain Malaysia bagi musim 2024/2025.

Sejak musim 2023, kapten Harimau Malaya, Dion Cools telah memberikan sumbangan besar bersama juara bertahan Liga Thailand, Buriram United dan membantu pasukan Thunder Castle meraih kejuaraan domestik.

Keberhasilan Cools itu turut membuka jalan bagi beberapa pemain Malaysia lain yang kini mendapat perhatian kelab-kelab di Thailand.

BACA LAGI: 'Tengok hasil baru komen', 'ekor' Harimau Malaya mahu tunggu dan lihat impak taktikal Rob Friend

BACA LAGI: 'Terengganu dalam momentum baik', Juan Muniz jangka aksi semifinal Piala Malaysia di SSMZA sukar

TMJ&Madame Pang

Tunku Ismail (kanan) bersama Madame Pang (kiri). — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Antara pemain yang mencuri tumpuan adalah penyerang muda skuad kebangsaan, Fergus Tierney dan bintang muda Selangor FC, Muhammad Bin Abu Khalil yang dilaporkan menyertai Nakhon Pathom United.

Dengan perkembangan tersebut, peluang untuk menyaksikan pemain Malaysia beraksi di Thailand semakin luas.

Pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, berpendapat faktor utama peningkatan nilai pemain Malaysia di Asean adalah hasil kejayaan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya rasa faktor utama adalah kerana pasukan kita terutamanya JDT telah bermain di peringkat tinggi dalam pertandingan kelab-kelab Asean.

"Apabila pasukan kita beraksi di peringkat tertinggi, prestasi cemerlang yang ditunjukkan turut menarik perhatian pasukan-pasukan di Thailand untuk memerhatikan pemain-pemain kita dan memberi tawaran kontrak kepada mereka," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2025-01-15 at 15.52.01

Bintang muda JDT, Fergus Tierney menyertai Nakhon Pathom United. . — Instagram/nakhonpathomunited

Zulakbal juga berpendapat bahawa hubungan baik antara Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau Madame Pang memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pemain tempatan.

"Hubungan baik yang dimiliki oleh TMJ dan Madame Pang juga mungkin memainkan peranan. Saya percaya perbincangan antara mereka mungkin menyentuh mengenai perpindahan pemain-pemain kita ke Liga Thailand," katanya lagi.

Menurutnya lagi, usaha berterusan JDT dalam membangunkan pasukan wajar diberi penghargaan kerana berjaya meletakkan pemain Malaysia bernilai di Asean.

"Saya percaya kelab-kelab di Thailand melihat pembangunan kita berdasarkan prestasi yang semakin meningkat. Peningkatan ini pastinya disebabkan oleh faktor-faktor seperti jurulatih, latihan serta sistem sokongan yang diterima oleh pemain-pemain di JDT.

"Selain itu, individu-individu dalam pasukan JDT juga merupakan golongan profesional bertaraf antarabangsa yang sangat berpengalaman.

"Kesannya, prestasi yang semakin baik ini mula mendapat perhatian pasukan-pasukan dari Liga Thailand. Kredit wajar diberikan kepada JDT atas usaha yang telah dilakukan.

"Latihan yang berterusan dalam tempoh yang panjang telah membentuk prestasi yang membawa pasukan ke tahap yang ada sekarang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram