MASA depan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam arena bola sepak tanah air semakin kelam sehinggakan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar terpaksa membuat permohonan bagi meminta kerjasama daripada mana-mana pihak.
Luahan itu dibuat selepas skuad Sang Kenari dilaporkan mengalami kemelut kewangan serius dengan terdapat pendedahan mengatakan pemain tidak menerima bayaran gaji selama sembilan bulan.
Sekiranya situasi itu berterusan dan pihak pengurusan gagal membawa masuk sumber kewangan baharu, penyokong perlu menerima realiti mengenai kemungkinan kelab berkenaan akan dibubarkan.
BACA LAGI: 'Kedah ada bos baharu?', 2 calon sesuai jika benar Daud Bakar tidak lagi bersama KDA
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Taktikal Victor lagi cantik’, fans KDA FC mula reda pemergian Nafuzi Zain
Skuad Sang Kenari dan Harimau Kumbang merupakan dua lagi pasukan Liga Super yang berasal dari Utara tanah air. — Facebook/KDA FC
Ketiadaan skuad Sang Kenari dalam landskap bola sepak tempatan semestinya sukar diterima kerana sejak penubuhannya, mereka sudah memegang takhta 'Raja Utara' dengan kejayaan demi kejayaan dikecapi.
Jadi, gelaran itu pasti akan berpindah milik sekiranya pembubaran itu berlaku dengan Penang FC atau Perak FC bakal menjadi 'pewaris' kerana kedua-dua pasukan tersebut terletak di rantau berkenaan.
Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa, skuad The Bos Gaurus (TBG) lebih layak memiliki takhta itu berbanding pasukan di Pulau Mutiara tersebut berdasarkan tiga sebab utama.
1. Prestasi semasa
Carta Liga Super setakat separuh musim 2024/25 menyaksikan Perak FC berada di kedudukan lebih baik berbanding skuad Harimau Kumbang dengan empat mata membezakan kedua-dua kelab terbabit.
Malah, dalam saingan Piala Malaysia, pasukan kendalian Yusri Che Lah mara sehingga ke suku akhir sementara musuh setempat mereka tersebut tersekat di pusingan awal berikutan kekalahan kepada Kuching City FC.
Skuad TBG menduduki tangga ketujuh Liga Super selepas 16 perlawanan. — Facebook/Perak FC
Prestasi itu sudah cukup untuk menceritakan skuad TBG memiliki kelebihan berbanding Penang FC yang sehingga kini masih belum mendapat rentak meskipun sudah melakukan rombakan pada awal kempen lalu.
Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang masih berkesempatan mengubah situasi itu kerana pada 12 Januari depan, mereka akan bertemu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Perlawanan itu boleh menjadi medan bagi kedua-dua pasukan merebut takhta terbabit meskipun masih terlalu awal bagi salah satu daripada mereka berasa megah dengan gelaran berkenaan.
2. Rekod kejuaraan
Tidak boleh dinafikan bahawa Kedah diangkat sebagai 'Raja Utara' kerana mereka berjaya menjulang pelbagai gelaran, termasuk tiga gelaran Liga Super dan lima kejuaraan Piala FA.
Malah, kira-kira 20 tahun lalu, skuad Sang Kenari mencetak sejarah dengan menjuarai gelaran treble buat dua musim berturut-turut sebelum Johor Darul Ta'zim (JDT) mengulanginya baru-baru ini.
Rekod kejuaraan skuad TBG tidaklah begitu mengecewakan.
Jadi, sekiranya Perak FC atau Penang FC mahu mengatasi keunggulan KDA FC, mereka perlu membuktikan jumlah kejuaraan dimiliki dalam sejarah penubuhan, baik di peringkat domestik mahupun Asia.
Melihat kepada jumlah gelaran dijulang, skuad TBG mempunyai kelebihan berbanding skuad Harimau Kumbang dengan lapan kejuaraan Piala Malaysia selain menjuarai dua edisi Liga Super akan menjadi kebanggaan mereka.
Di samping itu, skuad TBG juga boleh berasa megah berbanding Penang FC kerana kemarau kejuaraan mereka tidaklah begitu teruk kerana pernah membawa pulang Piala Malaysia pada 2018 sementara kali terakhir skuad Harimau Kumbang menjulang trofi adalah pada 2002.
3. Sokongan penyokong
Setakat separuh musim 2024/25, ketiga-tiga wakil Utara tanah air tidak berada dalam kedudukan memberangsangkan dengan skuad Harimau Kumbang menduduki tangga tercorot Liga Super dalam kalangan mereka.
Prestasi mengecewakan tersebut semestinya menjejaskan jumlah kehadiran penyokong ke stadium kerana masing-masing enggan melaburkan wang sehingga kelab disokong berjaya mengubah nasib di atas padang.
Sokongan peminat skuad TBG tidak pernah mengecewakan. — Facebook/Perak FC
Bagaimanapun, sekiranya perbandingan dibuat, skuad TBG masih menerima sokongan hebat setiap kali berentap di Stadium Perak, Ipoh dengan sebahagian daripada peminat yakin akan sentuhan barisan kejurulatihan.
Malah, setiap kali bertandang ke tempat lawan, kehadiran penyokong Yob tidak mengecewakan dengan jumlah penonton di Stadium MP Temerloh, Pahang ketika mereka berdepan skuad Tok Gajah adalah antara bukti terbaik.
Jumlah kehadiran KDA FC dan Penang FC juga tidaklah begitu mengecewakan, namun kredit masih perlu diberikan kepada penyokong Perak yang tidak putus memberi sorakan tanpa menghiraukan keadaan pasukan di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram