SETAKAT separuh musim 2024/25, lebih separuh daripada pasukan Liga Super sudah melakukan perubahan terhadap barisan kejurulatihan selepas pihak pengurusan berasakan terdapat pelbagai isu berbangkit.
Namun, masih ada dalam kalangan kelab yang bertanding kekal setia dengan pengendali masing-masing setelah berasakan sentuhan mereka membawa impak seperti mana diharapkan.
Salah satu daripadanya ialah Perak FC yang masih memberikan kepercayaan penuh kepada Yusri Che Lah selepas dia dilantik bagi menggantikan Datuk Lim Teong Kim pada pertengahan musim 2023.
BACA LAGI: Yusri harap ada hikmah daripada pemain muda dengan kehilangan tiga import
BACA LAGI: Perak FC kurang ‘umph’ tapi Yusri Che Lah tidak takut ketengahkan pemain muda
Yusri masih sukar meraih penyokong meskipun sudah membawa perubahan positif buat skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Pendekataan itu bagaimanapun kurang disenangi penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang berasakan seseorang lebih berkaliber dan berpengalaman diperlukan bagi mengembalikan era kegemilangan kelab.
Desakan tersebut sememangnya menimbulkan 1,001 tanda tanya daripada pihak pengurusan kerana mereka kelihatan berpuas hati dengan perubahan berjaya diterapkan pengendali berusia 48 tahun itu.
Malah, berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga sebab untuk peminat setia Perak FC untuk memberikan kredit kepada Yusri yang terus didesak melepaskan jawatannya di kelab Utara tanah air tersebut.
1. Gilap bakat pemain muda
Tidak boleh dinafikan bahawa nadi skuad TBG sejak kembali ke Liga Super musim lalu adalah dengan meletakkan majoriti 'ubi muda' di samping mereka yang lebih berpengalaman.
Nama-nama seperti Aiman Khairul Yusni dan Shivan Pillay merupakan antara yang kerap diberi peluang sehingga menyaksikan 'saham' masing-masing melonjak dalam kalangan penyokong.
Yusri memberikan minit permainan mencukupi buat Shivan Pillay. — Facebook/Perak FC
Lonjakan mereka sememangnya wajar diberikan kredit kepada Yusri meskipun keputusan memberi kepercayaan kepada bakat muda dimulakan Lim Teong Kim sepanjang enam bulan bersama kelab berkenaan.
Sekiranya Yusri beranggapan lambakan pemain setahun jagung dalam pasukannya tidak membuahkan hasil, sentuhan masing-masing pasti akan tumpul, sekali gus memaksa mereka mencari majikan baharu.
Kebangkitan 'ubi muda' dalam skuad TBG juga diharapkan mampu membawa manfaat kepada Harimau Malaya kerana kehadiran pemain muda Perak FC dalam skuad kebangsaan sememangnya diharapkan.
2. Cekal terima kritikan
Seperti mana jurulatih-jurulatih di dalam mahupun di luar negara, mereka sememangnya tidak boleh lari daripada kritikan, lebih-lebih jika pasukan dikendalikan berada dalam prestasi mengecewakan.
Yusri yang membawa Perak FC ke prestasi memuaskan juga sering berdepan kecaman sedemikian dengan nyanyian 'YCL, Apa Yang Kau Buat' ketika aksi Liga Super berdepan Selangor FC merupakan contoh terbaik.
Perkara itu juga bukanlah sesuatu yang baharu kerana kesangsian terhadapnya sudah membanjiri media sosial sehingga sebahagian penyokong mengatakan pelantikannya dibuat tanpa sebarang asas kukuh.
Namun, sepanjang tempoh kira-kira setahun itu, pengendali yang merupakan bekas pemain Perak itu tidak pernah membalas kritikan tersebut dengan apa jua bentuk kritikan terbuka.
Malah, segala cemuhan diterima dijadikan sumber motivasi memandangkan setiap langkah diambil mula membuahkan hasil memandangkan Perak FC kini berada di kedudukan ketujuh Liga Super.
Meskipun kedudukan itu tidaklah begitu megah, ia adalah lebih baik berbanding sepanjang musim lalu ketika mana dia belum dapat menerapkan falsafah bola sepak sebenar dalam pasukan.
3. Terapkan gaya permainan positif
Perasan atau tidak, sepanjang berada di bawah bimbingan Yusri, Perak FC jarang menerima kritikan dari segi gaya permainan kerana setiap pemain boleh dikatakan amat bertenaga setiap kali diturunkan.
Isu tersebut turut diakui penyokong mereka sendiri yang sering mengatakan taktikal digunakan dalam setiap perlawanan agak memuaskan, namun keluhan masih didengari kerana kemenangan sukar dicatatkan.
Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang boleh dikawal pengendali itu sendiri kerana melihat kepada Perak FC musim ini, mereka masih belum bersedia untuk menembusi kelompok lima pasukan teratas.
Mutu skuad TBG masih belum untuk bersaing dalam Liga Super. — Facebook/Perak FC
Sekiranya pihak pengurusan bertindak melabur secara besar-besaran pada jendela perpindahan akan datang, kelab Utara tanah air tersebut mampu memberi saingan lebih baik.
Persoalannya, dengan masalah kewangan mula kedengaran kem Perak FC, adakah mereka akan membawa masuk nama-nama besar untuk menaikkan kembali reputasi Yusri dalam kalangan penyokong?
Sekiranya tiada perubahan ketara disaksikan, terdapat kemungkinan tiada perbezaan ketara dapat disaksikan skuad TBG dengan penyokong perlu menerima keadaan semasa pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram