Hanya sekali menang lawan Pahang, 3 pemain Piala Presiden Perak wajib dipertaruhkan YCL


  • Podium
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Perak akan menentang Sri Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysi, Jumaat ini. — Facebook/Perak FC

BERHASIL menewaskan Selangor FC pada pusingan pertama Piala Malaysia 2024 pasti memberi keyakinan kepada Sri Pahang untuk tampil dengan aksi yang lebih cemerlang menjelang perlawanan menentang Perak FC Pada saingan suku akhir pertama.

Jika dilihat rekod lima aksi lepas, skuad Tok Gajah tampak lebih meyakinkan kerana sudah menang empat perlawanan, sementara The Bos Gaurus (TBG) pula menang ketika aksi Liga Super yang menyaksikan Perak meraih keputusan 3-0 pada 28 September lepas.

Prestasi atas kertas yang lebih memihak kepada Sri Pahang itu bagaimanapun tidak boleh menjadi ukuran kerana ketika ini, Perak mendahului Tok Gajah pada saingan Liga Super dengan kelebihan tiga mata berbanding lawannya itu.

BACA LAGI: Penyokong Perak FC sambut baik kepulangan Lee Tae-min ke Korea Selatan

BACA LAGI: Perak FC kurang ‘umph’ tapi Yusri Che Lah tidak takut ketengahkan pemain muda

Malah, Perak di bawah kendalian Yusri Che Lah juga banyak mengejutkan beberapa pasukan besar seperti tahun lalu mereka melakukannya terhadap Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC pada Piala Malaysia 2023.

Antara ramuan Yusri berbuat demikian adalah memberi kepercayaan kepada beberapa pemain muda dari skuad simpanan mereka untuk diturunkan dalam perlawanan penting. Misalnya, musim lepas menyaksikan Hakimi Mat Isa menjadi watak penting dalam saingan Piala Malaysia.

Pemain muda yang kini berusia 23 tahun tersebut mencetak satu gol dalam kemenangan 3-1 mereka menumpaskan skuad Sang Kenari di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada 3 Ogos 2023.

Menggunakan ramuan sama, Yusri boleh meraih kemenangan kedua mereka musim ini ke atas Sri Pahang jika mempertaruhkan beberapa pemain dari skuad belia Perak yang sedang meningkat naik musim ini;

1) Ahmad Daniel Hakimi

aiman yusni

Daniel Hakimi sebelum ini beraksi bersama skuad simpanan Perak. — Facebook/Perak FC

Pemain muda Perak FC yang mendapat peluang debut bersama pasukan utama ialah, Ahmad Daniel Hakimi apabila prospek Bawah-20 tahun itu beraksi ketika kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi pusingan 16.

Daniel Hakimi yang baru menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia menjalankan peranannya dengan baik apabila berfungsi dalam melakukan percubaan ke kubu lawan.

Bukan hanya mengawal tengah dengan baik, Daniel Hakimi juga meledak gol debut bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) menerusi sepakan penalti apabila pemain itu dijatuhkan pada babak kedua perlawanan menentang skuad Kijang Emas.

Kelincahan pemain itu membuatkan ada segelintir penyokong Perak memberinya gelaran 'Messi' baharu Liga Malaysia (Liga M) selepas persembahan mengagumkan pada aksi debutnya itu.

2) Aiman Yusni

ni baru aiman

Peningkatan ketara daripada Aiman sejak di skuad B-23 Perak membolehkannya dijulang penyokong skuad TBG. — Facebook/Perak FC

Pertahanan Perak FC, Aiman Yusni antara pemain yang turut wajar diturunkan dalam aksi menentang Pahang berdasarkan prestasi konsisten dan kematangan yang ditunjukkannya di liga domestik.

Aiman yang mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan bek kanan itu memiliki kekuatan fizikal untuk melakukan clearance bagi menghalang lawan daripada melakukan serangan ke kubu mereka.

Buktinya, kepakarannya dalam bertahan dan mengekang asakan itu menjadikan pemain berusia 22 tahun berkenaan sebagai pertahanan regular Perak dan sudah merekodkan 11 aksi Liga Super.

Walaupun skuad Utara tanah air itu tidak berada di kelompok atas liga namun aksi konsisten, komitmen serta dedikasi yang tinggi membuatkan dia wajar menjadi tunjang utama di barisan pertahanan.

3) Firdaus Saiyadi

firdaus

Firdaus (kiri) beraksi bersama Perak FC II pada musim 2016 sebelum menyertainya semula musim lepas. — Facebook/Perak FC

Bagaikan sirih pulang ke gagang, inilah peribahasa tepat yang boleh digambarkan kepada jeneral tengah Perak FC, Firdaus Saiyadi apabila kembali menyertai TBG pada jendela perpindahan kedua 2023 dari Kuala Lumpur (KL) City FC.

Firdaus yang juga bekas ketua pasukan skuad Seladang pada musim lepas itu mampu beraksi di posisi tengah dan hantaran serta kelicikannya amat ditagih untuk membantu rakan sepasukan memburu jaringan.

Selain kemampuannya mengetuai jentera tengah, pemain berusia 26 tahun tersebut juga mampu beraksi di posisi penyerang sayap jika kepakarannya di bahagian itu diperlukan oleh taktikal jurulatih.

Oleh itu, tidak mengejutkan jika Yusri akan melihatnya sebagai seorang pemain yang versatil dan berkemungkinan akan kebolehannya sekali lagi akan digunakan pada aksi menentang Sri Pahang seperti ketika kemenangan 3-0 sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram