KEMELUT kewangan dan tunggakan gaji yang melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan dua tonggak import iaitu Sukhrob Nurulloev serta Cleylton Santos memilih untuk meninggalkan pasukan.
Manakala, seorang lagi pemain yang turut mengucapkan selamat tinggal adalah Faiz Nasir apabila difahamkan tempoh pinjamannya sudah berakhir dan akan kembali ke pangkuan majikannya iaitu Terengganu FC (TFC).
Pemergian tiga pemain itu turut mengikuti jejak langkah Sony Norde, Habib Haroon, Fikri Che Soh dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang lebih awal mengangkat kaki pada Oktober dan November tahun lalu.
BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia
BACA LAGI: Kedah makin suram, 2 import sepakat tinggalkan kelab, Faiz Nasir pulang ke pangkuan TFC
Selepas sehari pengumuman kelab itu, Cleylton sudah menerima tawaran daripada negara jiran apabila dikatakan bakal bergabung dengan Datuk Ong Kim Swee di Persis Solo atau ke Madura United.
Berbeza dengan nasib Nurulloev apabila masih tiada apa-apa tawaran daripada mana-mana kelab. Statusnya itu membolehkan pasukan Liga Super wajar memantau penyerang kanan itu untuk membantunya kekal beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Oleh itu, kali Majoriti menyenaraikan tiga pasukan yang sesuai mendapatkan khidmat pemain kelahiran Uzbekistan berkenaan untuk saingan musim depan;
1) Sri Pahang FC
Hidalgo akan kembali ke JDT pada musim depan. — Facebook/SriPahang
Sri Pahang menjadi pasukan pertama yang wajar mempertimbangkan khidmat tonggak berusia 27 tahun itu susulan pada musim berikutnya mereka bakal kehilangan penyerang sayap import, Manuel Hidalgo.
Umum mengetahui, Hidalgo akan kembali ke majikannya iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan susulan tempoh pinjamannya bersama skuad Tok Gajah akan berakhir pada penghujung musim 2024/2025.
Justeru itu, kehilangan penyerang sayap import Argentina tersebut perlu diganti dengan pemain yang sudah mengenali sistem serta suasana liga domestik dan salah seorang calon sesuai ialah Nurulloev.
Meskipun hanya setahun bersama skuad Sang Kenari tetapi ia merupakan satu tempoh yang cukup memberi pengalaman untuknya beraksi lagi bersama satu lagi pasukan Liga Super dan membantu Tok Gajah di bahagian hadapan nanti.
2) Penang FC
Nurulloev pernah beraksi bersama Nasaf Qarshi. — Facebook/KDAFC
Kali terakhir Penang FC menyerlah dalam saingan Liga Super adalah pada musim 2021 apabila pasukan itu berhasil menghuni kedudukan ketiga dan hanya dibezakan dua mata dengan naib juara iaitu KDA FC, yang mengumpul 43 mata.
Musim 2024/2025 masih seperti tahun 2022 dan 2023 apabila ketika ini, skuad Harimau Kumbang sekali lagi mengalami musim yang kurang memberangsangkan dengan sudah merekodkan lapan kekalahan daripada 16 perlawanan.
Salah satu komponen yang kurang menjadi buat Harimau Kumbang pada musim ini ialah bahagian serangan apabila pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu hanya merekodkan 15 jumlah gol.
Apabila diteliti, salah satu kekurangan bahagian hadapan Penang FC ialah mereka tidak mempunyai penyerang sayap import dan hanya mempertaruhkan Nabil Latpi, Rahmat Makasuf, Al-Hafiz dan Amer Azahar.
Dibandingkan dengan barisan tonggak tempatan, kualiti Nurulloev jauh lebih baik susulan pengalamannya pernah beraksi bersama Nasaf Qarshi di saingan Liga Juara-Juara Asia pada musim 2023/2024.
3) Perak FC
Wan Zack merupakan tonggak utama Perak pada musim ini. — Facebook/PerakFC
Perak FC juga boleh menjadi destinasi seterusnya buat pemain skuad kebangsaan Uzbekistan itu susulan skuad The Bos Gaurus (TBG) kini hanya bergantung harap kepada pemain tempatan, Wan Zack Haikal sahaja.
Tidak dinafikan Wan Zack mempunyai kualiti dan pengalaman yang mahal namun bekas tonggak kebangsaan berkenaan semakin dimamah usia apabila kini sudah menjangkau 34 tahun.
Dengan usianya itu, Wan Zack sudah tidak selincah dahulu dan lama kelamaan akan kurang efisien di bahagian serangan. Ia jelas memaksa Perak untuk mencari satu lagi pemain sayap berkualiti dan Nurulloev adalah jawapannya.
Bersama pasukan Kedah pada musim ini, penyerang sayap berketinggian 1.70 meter itu sudah merekodkan tiga gol dan dua bantuan jaringan dalam 17 perlawanan yang diharunginya bersama Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram