LIGA Malaysia (Liga M) terus dihimpit isu tunggakan gaji selepas dilaporkan giliran pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pula memboikot sesi latihan apabila pasukan dari Pantai Timur itu terkait dengan masalah tersebut.
Sebelum ini, pemain-pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) juga menggunakan cara yang sama dengan memboikot sesi latihan pasukan selepas pihak pengurusan tidak berjaya melunasakan tunggakan gaji Sang Kenari sejak awal musim.
Melihat situasi semasa dialami dua kelab gergasi Liga Super itu, pemerhati sukan tempatan, Hanif Miswan berpandangan perjalanan liga bola sepak negara semakin tenat dan telah pun mencecah titik terendah sejak beberapa musim kebelakangan ini.
BACA LAGI: 'Tak rasa berdosa ke?', isteri pemain dakwa Kedah masih belum bayar tunggakan gaji 9 bulan
"Komen saya,perkara ini (tunggakan gaji) telah menandakan bahawa Liga Malaysia dah menuju ataupun sudah pun berada di tahap yang 'hit bottom' ataupun 'the lowest'.
"'The lowest point of' mana-mana liga yang dianjurkan bila ada kelab tak bayar gaji, ada kelab yang tarik diri, ada pasukan yang bungkus dan sekarang ini menjadi trend ataupun respon daripada pemain-pemain boikot sesi latihan (akibat tunggakan gaji).
"Tambah parah lagi, ini berlaku kepada pasukan-pasukan yang besar seperti Kedah dan Kelantan Darul Naim," katanya kepada Majoriti.
Tambahannya lagi, usaha yang dilakukan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam merevolusikan Harimau Malaya pula tidak sejajar dengan keadaan semasa Liga Super.
"Apatah lagi bila sekarang ini kita nak merevolusikan Harimau Malaya ada langkah-langkah yang diambil dengan dasar pandang ke arah naturalisasi, pemain-pemain warisan.
"Tetapi dalam masa yang sama liga kita menuju ke arah sesuatu perkara yang negatif.
"Jadi ia tidak seiring dan bukan satu gambaran yang baik apatah lagi bila banyak kes yang berlaku terkait dengan pemain-pemain import," jelasnya.
Hanif juga menyimpulkan imej Liga Super semakin jatuh apabila masalah tunggakan gaji telah membabitkan pemain-pemain import yang berkelana ke negara ini.
"Imej Liga Malaysia akan semakin merudum dan dipandang sepi oleh pasukan-pasukan ataupun pemain-pemain import yang lain.
"Jadi imej dah teruk, nak jatuh dan ini bermaksud tahap 'survival' pasukan dalam liga semakin rendah.
"Kalau dulu kita ada 12 pasukan Liga Super, Liga Perdana mungkin 10. Sekarang hanya tinggal beberapa sahaja yang hidup.
"Musim depan pula dijangka tinggal beberapa sahaja yang masih lagi meneruskan cabaran, jadi ini satu senario yang sangat tidak sihat.
"Satu senario yang menggambarkan betapa tenatnya Liga Malaysia sekarang ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram