KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan turun ke Darul Aman tanpa kelibat dua import utama apabila menyaksikan Sukhrob Nurulloev dan bek tengah, Cleylton Santos memilih untuk meninggalkan pasukan.
Manakala, seorang lagi pemain yang turut mengucapkan selamat tinggal adalah Faiz Nasir apabila difahamkan tempoh pinjamannya sudah berakhir dan akan kembali ke pangkuan majikannya iaitu Terengganu FC (TFC).
Kehilangan tiga pemain itu dikaitkan dengan masalah tunggakan gaji yang belum mampu diselesaikan pengurusan Sang Kenari hingga menyaksikan ada segelintir sahaja masih setia bermain demi lencana di dada.
BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia
BACA LAGI: Kedah makin suram, 2 import sepakat tinggalkan kelab, Faiz Nasir pulang ke pangkuan TFC
Meskipun badai yang melanda Kedah masih belum berlalu namun pujian wajar diberi kepada beberapa pemain kerana masih menunjukkan komitmen untuk turun ke padang latihan dengan senyuman seolah-olah masalah sudah menemui titik nokhtah.
Suasana sihat itu membuatkan penyokong yakin skuad kendalian Victor Andrag itu mampu mendapatkan kemenangan ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC bagi aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.
Aksi pembuka selepas berehat hampir tiga minggu itu pada mulanya dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan namun proses naik taraf venue yang masih belum selesai menyebabkan perlawanan diubah ke Stadium Darul Aman.
Antara wajah pemain utama yang masih turun ke sesi latihan sebelum pertembungan menentang skuad Kijang Emas ialah Syafiq Ahmad dan Milos Gordic. Kehadiran mereka dijamin boleh mengubat pemergian Nurulloev serta Cleylton.
"Nampak Syafiq Ahmad di situ, lega sikit untuk perlawanan petang ini," kata penyokong Sang Kenari, Syahmi Senawi.
"Mantap Milos, masih lagi setia bersama pasukan Kedah," komen penyokong Hijau Kuning, Abdul Hamid Harun.
"Hebat semua, bukan gurauan slogan demi lencana di dada. Syafiq Ahmad pun masih ada lagi," kata penyokong Kedah, John Zhen Li.
Milos dijangka akan menjadi penyerang utama menentang KDN nanti. — Facebook/KDAFC
Kehadiran duo serangan itu mampu menjadi senjata untuk Kedah bagi meneruskan rentak positif setelah meraih tiga kemenangan dan satu keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir Sang Kenari.
Kelantan juga pastinya mahu meraih tiga mata susulan sebelum ini gagal mencatat kemenangan dalam sembilan aksi lepas dengan kali terakhir meraih tiga mata ketika menewaskan Negeri Sembilan pada September. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram