Hatrik Wenzel-Halls ditagih tumbangkan Gergasi Merah di semifinal Piala Cabaran


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Selepas mempamerkan prestasi cemerlang, harapan tinggi kini diletakkan kepada Wenzel-Halls (tengah) dalam aksi bertemu Selangor FC nanti.  — Facebook/Penangfc

PENYERANG kelahiran Australia, Dylan Wenzel-Halls pastinya berasa bangga apabila mencatatkan hatrik pertamanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Namun, walaupun meledak tiga gol untuk Penang FC dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada Sabtu minggu lalu, ia tidak cukup untuk memastikan kemenangan bagi pasukannya.

Walaupun Wenzel-Halls tampil cemerlang dengan tiga gol, Harimau Kumbang terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 dalam Derby Utara yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

BACA LAGI: Pernah bergabung di Selangor, 3 pemain boleh jadi tonggak NSFC jika benar Nidzam Jamil tiba di Paroi

BACA LAGI: 'Harap score lagi', fans puas hati striker The Cats kembali cetak gol

WhatsApp Image 2025-01-15 at 10.38.08

Penang FC akan melayan kunjungan Gergasi Merah aksi semifinal pertama Piala Cabaran. Facebook/Penangfc

Keputusan itu menyaksikan perasaan bercampur-baur dalam diri penyerang berusia 27 tahun itu.

“Ia adalah detik istimewa untuk saya sebagai penyerang kerana dapat mencatatkan hatrik. Ini adalah pencapaian besar dalam kerjaya saya.

"Namun, saya kecewa kerana kami tidak dapat meraih tiga mata penuh walaupun saya menjaringkan tiga gol,” kata bekas pemain Central Coast Mariners itu.

Kemenangan amat diperlukan oleh Penang yang kini berada di tangga ke-11 dalam carta Liga Super dengan 15 mata selepas 17 perlawanan.

Untuk rekod, Wenzel-Halls sudah beraksi dalam sembilan perlawanan Liga Super, mencatatkan empat gol dan dua bantuan gol.

Namun, kini fokus utamanya adalah untuk membantu pasukannya melonjak naik dalam kedudukan liga.

Penang bakal berdepan Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Bandaraya pada 19 Januari. Selepas mempamerkan prestasi cemerlang, harapan tinggi kini diletakkan kepada Wenzel-Halls.

Dia bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut, namun berharap kali ini keputusan akan memihak kepada pasukannya.

"Saya akan terus menjaringkan gol, tetapi harapan utama saya adalah melihat pasukan menang lebih banyak perlawanan dan berpeluang memenangi trofi," kata Wenzel-Halls. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram