KEM Negeri Sembilan FC tersenyum lebar apabila dikhabarkan akan menerima kehadiran bekas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan pasukan mereka dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Nidzam Jamil yang cukup terkenal dengan pengalaman luas dalam bola sepak tempatan, dijangka memainkan peranan penting dalam membantu skuad Jang meraih kejayaan pada musim ini.
Pengendali berusia 45 tahun itu dilihat sebagai individu yang mampu memberikan impak positif kepada Negeri Sembilan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
BACA LAGI: Musim belum habis, 3 pemain JDT dah tinggalkan 'pitch' berehat panjang
BACA LAGI: Bukan lagi zaman ‘prime’, Liridon Krasniqi mungkin lebih sesuai beraksi bersama Pahang Rangers
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus menafikan dakwaan bakal melantik bekas jurulatih Selangor tersebut.
Menurutnya, tiada perubahan yang dilakukan oleh pihak pengurusan NSFC pada musim ini.
Meskipun begitu, jika benar bekas pengendali Gergasi Merah itu ke Paroi, beberapa perubahan mungkin berlaku, dengan tiga pemain dijangka menjadi tonggak utama dalam kesebelasan utama skuad Jang.
Htet Aung (kanan) pernah beraksi bersama Selangor FC. — Facebook/NSFC
1. Hein Htet Aung
Tonggak NSFC, Hein Htet Aung yang pernah beraksi untuk Selangor FC memiliki potensi besar sebagai pemain sayap dengan kebolehan mengawal permainan dan fleksibiliti posisi.
Jika benar Nidzam Jamil menyertai NSFC, Htet Aung berkemungkinan besar menjadi pemain utama dalam pasukan.
Nidzam cukup dikenali dengan pendekatan taktikal yang bijak dijangka mampu mengembangkan potensi pemain dan menyesuaikan strategi pasukan.
Gaya permainan fleksibel Htet Aung yang dapat beradaptasi dengan taktik Nidzam memberi peluang untuknya menjadi tonggak penting dalam pasukan.
Pemain kelahiran Myanmar itu yang menyertai The Red Giants dua musim lalu gagal menyesuaikan diri dengan baik dan dipinjamkan ke NSFC.
Untuk rekod, beraksi bersama NSFC, Htet Aung mencetak dua gol dan tiga hantaran bantuan selepas 19 perlawanan liga domestik berlangsung.
NSFC mengejutkan penyokong skuad Jang dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-0 saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/NSFC
2. Tauffiq Ar-Rasyid
Penjaga gol NSFC, Tauffiq Ar-Rasyid merupakan pemain berpengalaman yang pernah beraksi untuk Selangor FC.
Dia memiliki kemahiran teknikal tinggi, kemampuan membaca permainan serta reaksi pantas dalam menyelamatkan bola sukar.
Tauffiq yang juga bekas penjaga Sarawak United itu juga mempunyai kekuatan fizikal yang baik dan mahir dalam mengedarkan bola untuk memulakan serangan.
Pengalamannya bersama Selangor memberinya pendedahan kepada cabaran Liga M yang kompetitif, meningkatkan konsistensi dan kemahirannya.
Kerjasama antara Tauffiq dan Nidzam pasti membawa satu dinamik yang menarik yang mana pengalaman penjaga gol berusia 30 tahun di gawang boleh digabungkan dengan keupayaan taktikal Nidzam dalam membentuk pasukan yang lebih kukuh.
Untuk rekod, Tauffiq yang menandatangani kontrak semusim bersama skuad Hobin Jang Hobin memulakan kerjaya bersama PKNS FC bermula 2017 hingga 2019 sebelum berpindah ke Selangor FC sehingga 2021.
3. Azrin Afiq
Pemain kelahiran Klang, Selangor, Azrin Afiq yang pernah beraksi bersama Gergasi Merah berpotensi menjadi tonggak utama skuad Jang seandaianya Nidzam dilantik sebagai jurulatih NSFC.
Azrin yang beraksi sebagai bek kiri itu mahir membaca permainan dan sesuai dengan gaya taktikal Nidzam yang menekankan pertahanan kukuh dan penguasaan bola.
Pengalamannya di Selangor membantunya menyesuaikan diri dengan tekanan dan pelbagai sistem taktikal.
Nidzam, yang berjaya mengasah potensi pemain, mampu mengembangkan lagi kemahiran bek kiri berusia 23 tahun itu menjadikannya pilihan utama dalam pertahanan NSFC.
Dengan keserasian gaya bermain, Azrin dijangka memberi impak besar kepada pasukan dan mampu membantu benteng pertahanan NSFC yang mudah bocor apabila bolos 37 gol selepas 16 perlawanan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram