TEMPOH reman bagi empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berusia 61 tahun dari sebuah syarikat penyiaran di Sarawak dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis berjaya mendapatkan perintah melanjutkan reman ke atas keempat-empat suspek sehingga Rabu.
"Keempat-empat suspek membabitkan CEO, isteri, anak dan adik iparnya berusia antara 20-an hingga 60-an itu sedang disiasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
"Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan aliran transaksi wang mencurigakan dipercayai diseleweng suspek," katanya.
BACA LAGI: Polis rakam keterangan KJ isu Titah Adendum, kenyataan dakwa Azalina Othman bersubahat
BACA LAGI: Jakim sahkan 'Ham and Cheese Sandwich' tiada sijil halal
Jumaat lalu, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan melalui Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.
"Kami sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA," tambahnya.
Tambahnya lagi, tangkapan tersebut dilakukan susulan maklumat risikan dan maklumat mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September, tahun lalu.
"Siasatan mendapati terdapat transaksi kewangan yang mencurigakan antara tahun 2017 hingga tahun lalu. Kami percaya suspek terlibat dalam pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah, serta pemberian tender projek secara haram.
"Kami juga telah merampas beberapa barangan, termasuk dokumen, kenderaan dan akaun bank bernilai RM17.4 juta," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram