Polis rakam keterangan KJ isu Titah Adendum, kenyataan dakwa Azalina Othman bersubahat


  • 112
  • Isnin, 13 Jan 2025

Polis akan merakam kenyataan Khairy Jamaluddin berhubung komennya mengenai Titah Adendum yang mendakwa Datuk Seri Azalina Othman Said turut bersubahat.

POLIS akan merakam keterangan Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan bekas Menteri Kesihatan itu yang mengaitkan Datuk Seri Azalina Othman Said dengan Titah Adendum dengan mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu bersubahat menyembunyikannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima dua laporan pada Jumaat minggu lalu dan satu kertas siasatan dibuka berhubung isu terbabit.

Menurutnya, pengadu mendakwa membaca sebuah portal berita tempatan berhubung kenyataan Khairy yang mendakwa Azalina bersubahat menyorokkan Titah Adendum.

BACA LAGI: Tiada kompromi bagi pegawai JPJ terbabit sindiket ‘stiker perlindungan’ lori — Anthony Loke

BACA LAGI: Jakim sahkan 'Ham and Cheese Sandwich' tiada sijil halal

"Pengadu mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar dan memburukkan imej Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

"Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan merakam percakapan Khairy pada pukul 3 petang (Isnin) di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara," katanya.

Menurut Razarudin, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu," katanya.

Jumaat lalu, Setiausaha Politik kepada Azalina, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy di Balai Polis Sentul.

Terdahulu, Khairy dalam satu podcast 'Keluar Sekejap' mendakwa berlaku krisis kepercayaan terhadap bekas partinya, Umno, berikutan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Khairy juga mendakwa Azalina bersubahat dalam menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara dengan tahanan di rumah. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram