Kempunan rasa gaji hingga hujung nyawa, KL City digesa langsaikan bayaran tertunggak jurulatih kelab


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Tugas terakhir Zailani bersama KL City adalah ketika perlawanan bertemu Selangor FC. — Facebook/KL City

BERITA duka melanda kem Kuala Lumpur City FC selepas mereka kehilangan pembantu jurulatih penjaga gol mereka, Zailani Abu Bakar yang meninggal dunia pada Selasa.

Dipercayai meninggal dunia akibat masalah jantung, perkhabaran itu disahkan sendiri oleh pihak kelab dalam sebuah siaran yang dikeluarkan oleh media sosial KL City.

Dalam siaran tersebut, Zailani dilihat sebagai jurulatih yang berdedikasi dan sudah menyumbang banyak kepada pembangunan bola sepak Kuala Lumpur.

BACA LAGI: ‘Mahu atau tidak, kita kena ketepikan kepenatan’, KL City mahu ulang pencapaian tundukkan Selangor FC

BACA LAGI: Terpaksa berputih mata, Lion City Sailors calar rekod kebal KL City

"Salam takziah buat keluarga Penolong Jurulatih Penjaga Gol KL City Hj. Zailani Abu Bakar atau lebih mesra dikenali sebagai 'Coach Jai', yang telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi tadi (Selasa).

"Pastinya jasa dan sumbangan Allahyarham kepada bola sepak Kuala Lumpur akan dikenang. Moga keluarga arwah sabar dan tabah menempuh dugaan ini," tulis KL City.

Saat ramai yang memberikan ucapan takziah kepada keluarga Zailani, ada penyokong yang mengingatkan kelab untuk bertanggungjawab kepada keluarga jurulatih itu berkaitan soal gaji.

Salah seorang penyokong, Nur Hadi mengingatkan pengurusan KL City untuk tidak mengabaikan kebajikan Zailani walaupun sudah pergi. Seperti yang diketahui ramai, KL City merupakan salah satu daripada banyak kelab Liga Super yang mengalami isu gaji.

Bukan setakat pemain, tetapi barisan kejurulatihan pastinya terkesan dengan isu tersebut.

"Takziah tu, takziah juga. Kalau ada gaji tertunggak pada arwah cepat-cepat selesaikan supaya keluarga boleh uruskan faraid segera," kata Nur Hadi.

Salah seorang rakan Zailani yang dikenali sebagai Farid Doyok berkata, Zailani ada berkongsi kepadanya yang kelab terbabit sememangnya mengalami masalah gaji semasa menjadi pembantu jurulatih di KL City.

"Benar, arwah ada cerita pada saya mengenai perkara ini. Saya adalah temannya, saya merupakan orang terakhir bersama arwah sebelum dia diserang sakit jantung," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram