KETIKA ini di Liga Super, semua kelab tidak boleh membawa masuk pemain baharu. Namun, mereka boleh melepaskan pemain seandainya ada kelab luar mahukan khidmat mereka dan jendela perpindahan liga itu sedang dibuka.
Salah satunya adalah Thailand, yang mana saingan domestik di negara itu menyaksikan keluar masuk pemain baharu dengan setiap kelab berpeluang melakukannya di jendela perpindahan.
Dengan jendela perpindahan Liga Super tertutup rapat, beberapa pemain tempatan yang terkesan menjadikan Thailand sebagai lokasi untuk meneruskan karier mereka.
BACA LAGI: Belum boleh beraksi buat Terengganu, Faiz Nasir pilih kelab futsal Thailand lepas tinggalkan Kedah
BACA LAGI: Sudah tiba masa prospek Terengganu-Pahang-Kedah ikut Muhammad, Fergus ke luar negara
Fergus Tierney
Salah seorang pemain muda berkualiti dimiliki negara ketika ini, Fergus Tierney meneruskan kariernya dengan beraksi di Thailand dalam saingan Thai League 1.
Sebelum ini bersama-sama Chonburi FC, kontraknya bersama kelab itu ditamatkan lebih awal menjadikan masa depannya tergantung sepi.
Tierney (tengah) sebelum ini bersama Chonburi. — Facebook/Nakhonphatom United
Dengan pintu untuk kembali ke kelab asal, Johor Darul Ta'zim (JDT) tertutup, Tierney memilih untuk kekal di Thailand bersama-sama Nakhonphatom United.
Dan Tierney tidak mengecewakan, pada penampilannya bersama kelab walaupun sekadar 30 minit tapi berjaya membantu kelabnya meraih kemenangan ke atas bekas kelab Shahrel Fikri, Nakhon Ratchasima.
Muhammad Abu Khalil
Selain Tierney, satu lagi nama yang dijangka mendarat di Thailand adalah pemain Selangor FC, Muhammad Abu Khalil.
Pemain muda berpotensi itu baru saja tamat musim J3.League bersama FC Osaka dengan dia terus menyertai skuad Harimau Malaya di Piala Asean pada Disember tanpa membantu kelab itu mengharungi play-off ke J2.League.
Muhammad sebelum ini bersama FC Osaka. — FC Osaka
Disebabkan tidak boleh kembali ke Selangor, Muhammad perlu berkelana di luar negara terlebih dahulu dengan Nakhonphatom United disebut-sebut menjadi kelab seterusnya untuk pemain tersebut.
Seandainya sah menyertai kelab itu, Muhammad akan bersama-sama Fergus beraksi di Thailand.
Faiz Nasir
Situasi Faiz Nasir sedikit berbeza. Selepas dilepaskan oleh kelab pinjamannya iaitu Kedah Darul Aman FC, Faiz sepatutnya kembali semula ke Terengganu FC.
Tetapi, akibat jendela perpindahan Liga Super ditutup, Faiz tidak boleh kembali dan menjadikan Thailand sebagai destinasi seterusnya bagi pemain bertubuh kecil itu.
Faiz Nasir mempamerkan bakatnya dalam sukan futsal. — Facebook/MuangNara Futsal Club
Namun begitu, Faiz tidak seperti Tierney dan Muhammad yang menyertai kelab Thai League 1. Sebaliknya, dia memilih untuk bermain futsal bersama MuangNara Futsal Club.
Walaupun ia sekadar pertandingan amatur dan berjangka pendek, tetapi Faiz berjaya memastikan kecergasannya dalam keadaan terbaik sebelum kembali ke Pantai Timur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram