Marselino cipta debut Oxford United, sempat beraksi di samping bekas 'wonderkid' Spurs


  • Podium
  • Selasa, 14 Jan 2025

Marselino dimasukkan pada minit ke-89 ketika pasukannya ketinggalan 1-3 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA. — Agensi

KEPUTUSAN prospek bersinar Indonesia, Marselino Ferdinan untuk ke England dan menyertai kelab liga bawahan, Oxford United menimbulkan perbualan hangat dalam kalangan peminat sukan itu sekitar Asia Tenggara.

Sesetengah penyokong beranggapan keputusan untuk ke kelab di divisyen kedua hanya meranapkan kariernya kerana terdapat lambakan pasukan lebih baik sekitar Asia yang boleh disertainya.

Tetapi, ada pula yang memberikan pandangan sebaliknya dengan mengatakan langkah diambil itu perlu dipuji memandangkan pendedahan terhadap arena bola sepak di Eropah membawa impak besar terhadap pemain.

BACA LAGI: Media Indonesia lapor Kelantan minat sambar Marselino Ferdinan

BACA LAGI: [VIDEO] Rahsia sebenar Indonesia, semangat pemain warisan jiwai 'Tanah Airku' antara faktor kejayaan Sang Garuda

Kedua-dua pandangan berkenaan bagaimanapun perlu dihormati kerana ia menceritakan harapan orang ramai untuk menyaksikan pemain tengah menyerang tersebut bersinar di England.

Hasil daripada perpindahan itu mula terlihat kerana pada Sabtu lalu, Marselino mencatatkan debut buat Oxford United ketika menentang Exeter City FC dalam pusingan ketiga Piala FA 2024/25.

Dia yang dibawa masuk pada minit ke-89 untuk menggantikan Siriki Dembele tidak sempat memberi impak, namun tidak terlepas daripada layangan kad kuning berikutan kesilapan dilakukan pada masa tambahan.

Meskipun mengalami kekalahan 1-3 dalam perlawanan pertamanya buat skuad The U's, pemain kebangsaan Indonesia itu sudah tentu berbangga akan aksi pertamanya di England sejak tiba pada Ogos lalu.

884e970c6a45b30c13c75c4ab12393a5d2da47df

Scarlett yang merupakan bekas pemain Tottenham Hotspur kini beraksi buat Oxford United. Agensi

Lebih membanggakan lagi, Marselino sempat beraksi di samping beberapa pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Matt Phillips yang pernah bermain buat beberapa kelab seperti West Bromwich Albion dan Queens Park Rangers.

Selain itu, Oxford United turut memiliki sentuhan bekas penyerang muda Tottenham Hotspur, Dane Scarlett yang melakukan bantuan jaringan pada minit pertama permainan.

Marselino juga sepatutnya berpeluang beraksi di samping bekas prospek hangat Chelsea, Josh McEachran yang pernah menjulang Liga Juara-Juara UEFA dan Piala FA, namun pemain tengah itu dikeluarkan lebih awal.

Pendedahan sedemikian pasti membawa impak besar terhadap karier 'ubi muda' Indonesia itu yang mula membuktikan nilainya di peringkat antarabangsa dengan beberapa gol sudah dijaringkannya.

Minit diraih pemain muda itu buat Oxford United sememangnya diharapkan menjadi titik permulaan kepada kariernya yang lebih gemilang di Eropah, sekali gus membuka ruang lebih besar buat mereka sekitar Asia Tenggara untuk mencuba nasib di sana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram