PERKHABARAN baik diterima peminat bola sepak tanah air pada Ahad selepas kerajaan mengumumkan penambahan suntikan dana berjumlah RM15 juta bagi menggalakkan lagi perkembangan sukan itu.
Pengumuman tersebut sekali gus menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta secara keseluruhan selepas peruntukkan turut diumumkan pada Belanjawan 2025.
"Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
BACA LAGI: Faham budaya bola Malaysia cabaran terbesar Rob Friend majukan Harimau Malaya
BACA LAGI: Tinggalkan kelab Australia, bekas anak didik Cklamovski akan bantu revolusi Harimau Malaya?
"Dana ini juga akan dimanfaatkan FAM dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik," katanya.
Suntikan tersebut sememangnya satu berita baik kerana ketika ini, skuad kebangsaan jauh ketinggalan berbanding negara lain sekitar Asia Tenggara, termasuk Indonesia dan Thailand yang sudah beberapa langkah di hadapan.
Jadi, bagi memastikan kemajuan dapat disaksikan, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu menerima sejumlah wang bagi menampung kos dan perbelanjaan Harimau Malaya.
Selain dapat menaik taraf infrastruktur serta kemudahan, dana diterima itu boleh menarik lebih ramai pemain warisan yang berada di luar negara untuk beraksi buat skuad kebangsaan.
Penyokong turut berharap pemberian kerajaan itu dapat membawa impak positif, namun masing-masing beranggapan FAM perlu lebih konsisten membawa masuk pelaburan tanpa terus mengharapkan suntikan dana.
Dana daripada kerajaan perlu membawa impak positif buat Harimau Malaya. — Facebook/FAM
"Kerajaan juga perlu tegas kepada mereka supaya jangan terus meminta dana hanya untuk lakukan kerja lebih mudah dan senang.
"FAM dan ahli gabungan mempunyai tanggungjawab moral dan sosial bagi memastikan pemain dilatih ke arah menjadi pakar sehingga berjaya menguasai pasukan kebangsaan secara menyeluruh. Bayangkanlah, FAM dan Liga Super gagal menghasilkannya sudah sekain lama," kata Muhd Kamal GS.
"Jangan fikir kalau sudah terima dana, boleh bertenang dan terus mengharapkan daripada kerajaan. FAM sendiri perlu keluar dan cari peluang bawa masuk penajaan," kata Leman Mohd Daud.
"Kalau ikutkan, dana itu tidak cukup kerana masih banyak kekurangan mereka di mata kami. Carilah syarikat swasta yang mungkin boleh membantu dari segi kewangan," kata NoZo Lima.
Perancangan untuk membawa masuk lebih ramai pemain naturalisasi sudah diketahui selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, terdapat enam ke tujuh nama yang sudah dikenal pasti.
Sekiranya mahu memastikan mereka terbuka untuk beraksi, fasiliti lebih baik serta tawaran lumayan perlu diberikan dengan harapan kehadiran mereka mampu membawa impak positif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram