Dana RM30 juta bukti kerajaan komited, FAM boleh beri imbuhan tinggi demi moral pemain


  • Podium
  • Isnin, 13 Jan 2025

Dana daripada kerajaan perlu membawa impak positif buat Harimau Malaya. — FAM

PERKHABARAN baik diterima peminat bola sepak tanah air pada Ahad (12 Januari) selepas kerajaan mengumumkan penambahan suntikan dana berjumlah RM15 juta bagi menggalakkan lagi perkembangan sukan itu.

Pengumuman tersebut sekali gus menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta secara keseluruhan selepas peruntukan turut diumumkan pada Belanjawan 2025.

"Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau di Kedah masih melopong tunggu gaji, aksi 'clean sheet' Kalamullah terima pujian ramai

BACA LAGI: [VIDEO] TMJ 'hint' pemain warisan dari Eropah Selatan, Naim Garcia, bintang Liga Greece sertai Harimau Malaya?

harimau malaya

Program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat boleh ditingkatkan selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai. — Gambar hiasan

"Dana ini juga akan dimanfaatkan FAM dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik," katanya.

Suntikan tersebut sememangnya satu berita baik kerana ketika ini, skuad kebangsaan jauh ketinggalan berbanding negara lain sekitar Asia Tenggara, termasuk Indonesia dan Thailand yang sudah beberapa langkah di hadapan.

Jadi, bagi memastikan kemajuan dapat disaksikan, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu menerima sejumlah wang bagi menampung kos dan perbelanjaan Harimau Malaya.

Selain dapat menaik taraf infrastruktur serta kemudahan, dana diterima itu boleh menarik lebih ramai pemain warisan yang berada di luar negara untuk beraksi buat skuad kebangsaan.

Pemerhati sukan, Afiq Rowley berpendapat kerajaan begitu komited untuk melihat kemajuan bola sepak yang begitu lama dahagakan kejayaan.

"Ini menunjukkan kerajaan komited nak tengok kemajuan bola sepak Malaysia dan bukan hanya sekadar bercakap tapi mereka bertindak menyalurkan dana.

"Sumbangan ini penting untuk memastikan pembangunan bola sepak kita juga berjalan dan berlangsung dengan baik tanpa sebarang isu kewangan atau dana membabitkan pasukan pembangunan sehingga di pentas akar umbi," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, imbuhan yang tinggi mampu menaikan moral pemain-pemain yang akan membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa.

"Dengan dana yang lebih baik, imbuhan lebih tinggi mampu diberikan kepada pemain utama kebangsaan sekali gus menaikkan lebih banyak moral pemain untuk mewakili Harimau Malaya.

"Harapan saya, FAM gunakan dana ini dengan sebaik mungkin dan membuktikan kepada sesetengah peminat yang menganggap peruntukan itu sia-sia kepada sesuatu yang positif," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram