Media Indonesia lapor Kelantan minat sambar Marselino Ferdinan


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Marselino menjadi antara tonggak utama Indonesia B-23 yang berjaya membawa Sang Garuda ke pentas separuh akhir Piala AFC B-23 Qatar.

INDONESIA terus mencipta kejutan luar biasa apabila berjaya menundukkan Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 untuk mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 (Bawah 23 tahun) di Qatar.

Penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari muncul wira pasukan Asia Tenggara itu selepas menafikan dua sepakan penalti bagi mengakhiri cabaran Young Taegeuk Warriors, dengan keputusan 11-10 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi suku akhir 120 minit.

Rafael William Struick yang beraksi bersama kelab Liga Belanda, ADO Den Haag terlebih dulu meletakkan Indonesia di depan hasil percubaan pada minit ke-15 untuk menewaskan Baek Jong-beom.

Struick kemudian sekali lagi tampil dengan prestasi luar biasa apabila sekali lagi menewaskan Jong-beom selepas menyudahkan sentuhan rakan sepasukan sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel pada babak separuh masa pertama.

Namun begitu, bukanlah pemain kacukan Belanda-Indonesia itu yang menjadi bualan dalam kalangan penyokong Indonesia walaupun berjaya menjaringkan dua gol menentang Korea Selatan.

BACA LAGI: 'Kiko Insa jemput saya sertai keluarga Harimau Selatan'

Socmed

Laporan yang mengaitkan Marselino dengan KDN FC.

Sebaliknya, pemain KMSK Deinze, Marselino Ferdinan yang menjadi bualan hangat apabila khabar angin mengaitkan bintang muda itu dengan sebuah pasukan Liga Super yang didakwa berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim ini.

Menerusi perkongsian laman penyokong Indonesia, Pojok Arena melaporkan Marselino sedang diintai Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) selepas kontraknya akan tamat pada Jun 2024.

"Kelab Malaysia, Kelantan Darul Naim FC dikhabarkan tertarik untuk menandatangani pemain kebangsaan Indonesia, Marselino Ferdinan dari kelab Belgium, KMSK Deinze.

"Kontrak Marselino Ferdinan bersama KMSK Deinze akan berakhir Jun ini yang mana sehingga saat ini tiada perkembangan positif mengenai sambungan kontrak.

"Jika KMSK Deinze tidak cepat memperbaharui kontrak Marselino, mungkin Kelantan Darul Naim FC akan membawa pemain kebangsaan Indonesia itu ke Liga Malaysia," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Wakil Brunei dapat tonik harung SAC2024 sebelum jumpa Selangor lepas belasah kelab China

Tetapi laporan seperti ini sukar untuk dipercayai kerana kita tahu peningkatan prestasi Marselino dalam Piala Asia B-23 pastinya menarik minat kelab Eropah lain bagi mendapatkan khidmatnya.

KDN FC juga dilihat hanya tinggal satu kuota pemain import untuk diisi selepas mereka membawa masuk Michal Jerabek, Oday Kharoub, Chadrack Muzungu, Valdumar dan empat ubi muda dari Korea Selatan.

Ada kemungkinan laporan itu benar, namun KDN FC semestinya perlu bersaing dengan pasukan yang lebih berkemampuan untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun itu.

Musim ini, Marselino hanya tampil dalam tiga perlawanan bersama KMSK Deinze dan kontraknya dikhabarkan akan disambung jika prestasi semasanya berjaya menambat hati barisan kejurulatihan kelab Belgium itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram