Belum boleh beraksi buat Terengganu, Faiz Nasir pilih kelab futsal Thailand lepas tinggalkan Kedah


  • Podium
  • Isnin, 06 Jan 2025

Faiz Nasir (kanan) dijangka pulang ke pangkuan skuad Sang Penyu selepas kontraknya bersama Kedah berakhir. — Facebook/Terengganu FC

KEMELUT pengurusan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan pemain bertindak meninggalkan kelab Utara tanah air itu demi memastikan kebajikan masing-masing terjamin.

Pemain import seperti Sony Norde dan Cleylton Santos merupakan antara yang sudah berbuat demikian dengan kedua-dua mereka memilih untuk berkelana ke Indonesia bagi meneruskan karier di atas padang.

Namun, ada juga yang sudah berkelana, namun tidak mempunyai majikan baharu kerana keputusan menamatkan kontrak bersama skuad Sang Kenari itu dibuat di luar jendela perpindahan.

BACA LAGI: Kedah makin suram, 2 import sepakat tinggalkan kelab, Faiz Nasir pulang ke pangkuan TFC

BACA LAGI: Tiga kelab boleh tolong Sukhrob Nurulloev kekal survive di Liga M

472235732_633328672381647_6524526939563764694_n

Faiz Nasir meninggalkan skuad Sang Kenari selepas sembilan bulan dipinjamkan. Facebook/KDA FC

Antara yang mengalami masalah itu ialah pemain bertubuh kecil, Faiz Nasir yang diumumkan tidak lagi berkhidmat buat Kedah pada awal Januari lalu di samping Cleylton serta Sukhrob Nurullaev.

Meskipun dia hanya tiba dengan kontrak pinjaman dari Terengganu FC, namanya yang tidak didaftarkan bersama skuad Sang Penyu menyaksikannya tidak dapat diturunkan pengendali interim, Badrul Afzan Razali.

Jadi, demi memastikan kelangsungan karier, bekas pemain kebangsaan berkenaan memilih untuk berkelana ke Thailand dan menyertai kejohanan futsal enam sebelah baru-baru ini.

Perkara itu dikongsikan MuangNara Futsal Club di Facebook memaparkan Faiz beraksi buat pasukannya dalam pertandingan yang bertempat di Stadium Bodin, Narathiwat pada hujung minggu lalu.

472794434_1414085216700732_621526496923960862_n

Faiz Nasir mempamerkan bakatnya dalam sukan futsal. Facebook/MuangNara Futsal Club

Kehadirannya berjaya membawa impak besar buat pasukannya kerana mereka menamatkan saingan di tangga ketiga selepas tewas di pusingan separuh akhir kepada Cam Colt.

Tidak cukup dengan itu, Faiz yang kini berusia 32 tahun turut membuktikan namanya dalam pertandingan amatur berkenaan kerana diangkat sebagai antara pemain terbaik meskipun tidak merangkul gelaran juara.

Pemain yang pernah menerima julukan 'Messi Terengganu' itu sememangnya dekat dengan sukan futsal kerana peminat sukan di Pantai Timur pernah berkongsi foto memaparkannya beraksi di gelanggang sekiranya mempunyai masa terluang.

Dia semestinya akan menanti kepulangan ke dalam skuad Sang Penyu pada penghujung musim meskipun tahu lambakan pemain akan membuatkan minit permainannya semakin terhad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram