'Tak nak kalah', kisah di sebalik kenapa Ivan Zamorano sarung jersi 1+8 di Inter Milan


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Jersi 1+8 yang dipakai Ivan Zamorano merupakan jersi terlaris dalam sejarah bola sepak Itali. — Agensi

JIKA anda mengikut bola sepak antarabangsa terutamanya saingan Serie A di Itali, pastinya kenal dan mengetahui betapa hebatnya Inter Milan.

Sejak dulu, Inter Milan merupakan kelab utama di Itali dan sering mencabar kejuaraan domestik serta Eropah. Malah, mereka turut mempunyai ramai bintang yang beraksi untuk mereka.

Antaranya adalah Ivan Zamorano serta Ronaldo yang pernah menggegarkan pihak lawan dengan jaringan-jaringan mereka.

BACA LAGI: Rasmus Hojlund tak bimbang posisi dicabar pemain baharu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sudah masanya lihat Malaysia Golden Boy' fans Rangers senarai kelebihan Arif Aiman ke Eropah

Ivan-Zamorano-18

Ronaldo (kiri) dan Zamorano (kanan) mencipta gandingan serangan memukau di Inter. — Agensi

Tetapi tahukah anda? Kedua-dua penyerang ini mempunyai kisah unik mengenai jersi yang disarung mereka sewaktu bermain untuk Inter.

Hal ini kerana, Zamorano pernah menyarung jersi bernombor 1+8 yang membawa maksud 9. Tetapi bagaimana ia boleh berlaku?

Ia terjadi apabila Inter membeli Ronaldo daripada Barcelona pada 1997, ketika itu Zamorano merupakan pemilik jersi nombor 9 di Inter.

Antara syarat Ronaldo kepada Inter ketika itu adalah dia mahukan jersi nombor 9 apabila dia menyertai kelab itu. Inter kemudiannya bersetuju dengan syarat tersebut.

Namun begitu, setibanya Ronaldo di Inter, dia tidak dapat menyarung jersi tersebut kerana Zamorano mahu mengekalkan nombor tersebut. Oleh itu, Ronaldo perlu menyarung jersi nombor 10.

"Pada musim pertama Ronaldo di Inter, dia tak kata apa-apa kepada saya. Saya teruskan bermain dengan jersi nombor 9, dan dia menyarung jersi nombor 10," kata Zamorano.

Pada musim berikutnya, barulah pertukaran nombor jersi melibatkan dua pemain itu berlaku. Zamorano mendedahkan dia berbuat demikian untuk menceriakan Ronaldo yang hampa selepas tewas di perlawanan akhir Piala Dunia 1998.

"Saya tak melawan, saya berikan nombor jersi itu kepada pemain terbaik dunia. Kemudiannya, saya dicadang untuk menggunakan jersi dengan 1+8 padanya.

"Pada mulanya, saya lekatkan simbol tambah itu menggunakan pita pelekat saja pada jersi. Selepas empat, lima perlawanan, barulah pengeluar jersi rasmi Inter menghantar jersi baharu dengan nombor 1+8.

"Ia kemudiannya menjadi jersi yang paling banyak dijual dalam sejarah bola sepak Itali," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram