Aksi berdepan JDT peluang Sabah nilai kemampuan sebenar — Martin Stano


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Martin Stano beranggapan anak-anak buahnya bermotivasi menjelang perlawanan getir tersebut. — Facebook/Sabah FC

KETIKA ini, Sabah FC boleh diangkat sebagai antara pasukan terbaik dalam Liga Super kerana hanya mengalami satu kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Ini termasuk rentetan keputusan positif dalam kesemua empat aksi Piala Malaysia yang menyaksikan mereka layak ke pusingan separuh akhir buat pertama kali dalam tempoh tiga musim.

Prestasi memberangsangkan tersebut menyaksikan skuad Sang Badak selesa menduduki tangga ketiga Liga Super dengan enam mata dibezakan berbanding Selangor FC yang memegang slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.

BACA LAGI: The Rhinos muncul semifinalis Piala Malaysia, Stano mahu pemain Sabah nikmati cuti Krismas puas-puas

BACA LAGI: Stano beri kredit kepada OKS, Badrul Afzan enggan tunduk kepada JDT

472878566_1009656897867668_7810467752343132808_n

Daniel Ting terpaksa melupakan peluang beraksi di Stadium Sultan Ibrahim. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, cabaran hebat menanti kelab Borneo tanah air berkenaan apabila mereka akan berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.

Skuad Harimau Selatan sememangnya ampuh setakat pertengahan musim kerana hanya mencicirkan dua mata setakat 16 perlawanan, iaitu ketika mereka mencatatkan keputusan seri berdepan PDRM FC.

Namun, pengendali Sabah FC, Martin Stano yang mengakui mutu dimiliki pasukan Selatan tanah air itu seperti tidak gusar akan perlawanan terbabit, malah berasa teruja kerana ia menjadi medan terbaik untuk menilai anak-anak buahnya.

"Kami bermotivasi untuk berdepan JDT kerana kita akan berdepan pasukan terbaik dalam negara. Kami mahu melihat tahap sebenar kami kerana Sabah FC juga kini berada dalam prestasi yang baik.

"Apa yang lebih penting buat kami adalah untuk mengekalkan momentum dan memberikan persembahan terbaik. Kami juga mahu mencipta kejutan kepada JDT," kata jurulatih dari Slovakia itu.

JDT-Sabah

Skuad Harimau Selatan meraih kemenangan kali terakhir mereka berdepan skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Sejak menggantikan Datuk Ong Kim Swee, Stano tidak berdepan masalah untuk meneruskan legasi ditinggalkan kerana skuad Sang Badak mencatatkan dua keputusan positif menentang Kuching City FC di peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Jadi, dengan perlawanan menentang JDT boleh dianggap cabaran terbesar buatnya setakat ini, jurulatih berusia 47 tahun itu tentu mahu mencuri satu mata atau sekurang-kurangnya mengelakkan kekalahan memalukan di tempat lawan.

Bagaimanapun, skuad Sang Badak sedikit tempang menjelang perlawanan terbabit berikutan kehilangan beberapa tonggak yang digantung perlawanan selepas masing-masing mengumpul kad kuning dalam perlawanan sebelum ini.

"Mereka adalah Gabriel Peres, Daniel Ting serta Telmo Castanheira. Namun, kami bernasib baik kerana terdapat pemain boleh menggantikan kesemua dari mereka ini," katanya.

Kali terakhir Sabah FC berdepan JDT adalah pada 13 Julai lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 3-1 di Stadium Likas, Sabah dengan keputusan sedemikian pasti mahu dicatatkan sekali lagi. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram