Konsisten di Liga Super, Transfermarkt iktiraf JDT antara 4 kelab paling 'on-form' di dunia


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jan 2025

JDT terus konsisten dalam kancah domestik apabila menduduki tangga pertama Liga Super musim ini. — JDT

PERSEMBAHAN konsisten Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga domestik dan di pentas antarabangsa telah diiktiraf antara yang terbaik di dunia oleh laman sesawang Transfermarkt.

JDT di bawah bimbingan Hector Bidoglio ketika ini memimpin carta Liga Super dengan 46 mata, 11 mata meninggalkan pencabar terdekat, Selangor FC di tempat kedua.

Selain itu, skuad Harimau Selatan sedang bersaing hebat di pentas Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) apabila berada di kedudukan keenam selepas enam perlawanan dengan mengumpul lapan mata.

BACA LAGI: [VIDEO] Di bawah era RMS, ada 4 pemain import ‘scam’ penyokong Selangor FC

BACA LAGI: Rasmus Hojlund tak bimbang posisi dicabar pemain baharu

Aksi cemerlang dari juara sedekad Liga Super itu telah diiktiraf apabila Transfermarkt meletakkan JDT di tempat keempat bagi pasukan dengan prestasi terbaik dalam 10 perlawanan terakhir.

Dalam 10 aksi terakhir tersebut, JDT telah merekodkan sembilan kemenangan dan satu keputusan seri sekali gus diletakkan dalam kelompok empat terbaik di dunia oleh Transfermarkt bersama beberapa kelab dari Eropah.

Tiga pasukan teratas bagi kategori ini terdiri daripada kelab Armenia, FC Noah, Lincoln FC dari Gibraltar dan juga Red Star Belgrade dari Serbia yang mencatat 10 kemenangan bersih.

Ujian seterusnya buat JDT adalah berdepan Sabah dalam saingan Liga Super pada Sabtu (11 Januari) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Manakala, bagi saingan ACLE, JDT akan terbang ke Australia untuk perlawanan ketujuh berdepan Central Coast Mariners pada 11 Februari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram