MASALAH konsistensi sekali lagi membelenggu skuad Tok Gajah apabila mereka mengalami kekalahan kepada Negeri Sembilan FC dalam pertembungan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Sri Pahang FC yang tampil sebagai pasukan pelawat membuka jaringan seawal minit kelapan selepas bek import skuad Jang, Aliyu Abubakar menjaringkan gol sendiri selepas cuba mengeluarkan hantaran Kpah Sherman.
Permulaan cemerlang itu bagaimanapun gagal menyuntik semangat buat skuad bimbingan Fandi Ahmad apabila mereka dibolosi sebanyak dua kali dalam pertembungan itu kepada jaringan Hein Htet Aung dan A Selvan.
BACA LAGI: Piala Malaysia: Fandi renung prospek lepasi rintangan separuh akhir
Saiful (kiri) ketika mengasakan Takumi Sasaki dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman. — Facebook/Sri Pahang FC
Kedudukan 1-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan skuad Tok Gajah mengalami kekalahan keenam daripada 15 perlawanan Liga Super yang meletakkan mereka di tangga ke-10 dengan hanya 15 mata dikutip.
Malah, lebih mengecewakan lagi, keputusan itu menyaksikan Sri Pahang FC gagal meraih sebarang mata dalam dua pertembungan dengan Negeri Sembilan FC dalam Liga Super yang sememangnya sukar diterima Fandi sendiri.
"Hari ini (Jumaat) bukan hari kita kerana kami beraksi dengan kurang baik sementara persembahan daripada pasukan lawan nampak mereka inginkan kemenangan berbanding kami sendiri.
"Kita main kurang kemas pada babak pertama dan pada separuh masa kedua, kita terlalu lambat dalam menggerakkan bola dan kerap melakukan hantaran kurang baik dan tidak tepat," katanya.
Keputusan dicatatkan di tempat lawan itu menyaksikan Sri Pahang FC hanya merekodkan satu mata daripada lima perlawanan terakhir Liga Super yang menyukarkan misi berada dalam kelompok lima pasukan teratas.
Fandi turut beranggapan skuad Jang kelihatan lebih dahaga di atas padang selain berasakan anak-anak buahnya hilang tumpuan di atas padang sehingga membuatkan gawang mereka dibolosi sebanyak dua kali.
"Saya boleh katakan kemahuan Negeri Sembilan FC lebih baik daripada kami, ini adalah masalah kerana mungkin disebabkan kehilangan fokus dan tumpuan di atas padang.
"Jika anda lihat, saya ada lakukan perubahan pada babak kedua dan itu sedikit sebanyak membawa perbezaan. Tetapi, saya masih ingin katakan kemahuan mereka (Negeri Sembilan FC) lebih jelas berbanding kami.
Skuad Tok Gajah sudah tentu mahu bangkit daripada kekecewaan dalam Liga Super apabila akan berentap menentang Sabah FC dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabah pada 18 Januari depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram